SHEREEN ketika beraksi di Sukma Perak. FOTO NSTP
SHEREEN ketika beraksi di Sukma Perak. FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Majlis Sukan Negara (MSN) tidak pernah mengabaikan atau enggan mengambil tahu mengenai prestasi dan pencapaian atlet olahraga wanita kebangsaan, Sheeren Samson Vallabouy di Amerika Syarikat (AS).

Terdahulu, Sheeren mencipta sensasi apabila memecahkan rekod kebangsaan ketika menjuarai acara 400 meter (m) Kejohanan Divisyen 2 Trek dan Padang Dalam Dewan National Collegiate Athletic Association (NCAA) di Kansas, hujung minggu lalu.

Menerusi satu kenyataan memaklumkan bahawa MSN serta Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sentiasa mengikuti perkembangan Sheeren di AS dan Timbalan Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Mumtaz Jaafar sendiri menghubungi ibu atlet berkenaan pada 10 Mac lalu untuk menyenaraikannya ke Sukan SEA Vietnam, Mei depan.

"Catatan masa 53.79 saat yang juga lakaran peribadi terbaik Sheeren itu menyamai catatan pingat perak Sukan Sea Filipina 2019 sekali gus melayakkannya ke temasya Sukan Sea di Vietnam, Mei ini.

"Namun Sheeren tidak disenaraikan dalam kontinjen Sukan SEA kali ini kerana jadual kejohanan di Vietnam bertindih dengan jadual peperiksaannya di Winona State University, Minnesota.

"Ibu Sheeren memberi jaminan anaknya boleh mewakili negara ke Sukan Asia pada September kerana jadual pengajian yang tidak bertindih.

"Pencapaian terbaru ini membuktikan bakat dimiliki Sheeren berjaya diasah menerusi bimbingan jurulatih di universitinya dan pihak Majlis akan memberikan sokongan dan bantuan demi memastikan Sheeren mampu terus menghasilkan peningkatan prestasi secara konsisten," katanya.

Sebelum itu, Presiden Yayasan Komuniti Wanita Sukan di Malaysia (FOWCUS), Datuk Zuraida Kamaruddin bahawa pihak KBS memandang sepi pencapaian Sheeren di AS.

Katanya, pencapaian atlet berkenaan sepatutnya disambut dengan penuh kemeriahan dan kegembiraan oleh KBS termasuklah membantu Sheeren untuk meningkatkan lagi keupayaan di pentas antarabangsa.

Selain itu, MSN memberitahu Sheeren sebelum ini adalah atlet yang tersenarai dalam program pelapis kebangsaan di Sekolah Sukan Bukit Jalil dan terpilih memasuki Program 'Kita Juara' pada 2016 sebagai persiapan untuk Sukan Sea Kuala Lumpur 2017.

"Dibimbing oleh ibunya, Josephine Mary yang dilantik sebagai jurulatih, Sheeren disasarkan untuk memenangi pingat individu acara 400m di Sukan SEA 2017 tetapi hanya beroleh pingat dalam acara 4x400m.

"Sheeren kemudiannya memutuskan untuk tidak meneruskan latihan di bawah Program Kita Juara setelah keluarganya berjaya mendapatkan biasiswa untuk menyambung pengajiannya di Winona State University," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Mac 2022 @ 2:00 PM