SHEREEN memperbaharui rekod kebangsaan 400m dalam dewan. FOTO Agensi
SHEREEN memperbaharui rekod kebangsaan 400m dalam dewan. FOTO Agensi
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Atlet olahraga negara, Shereen Samson Vallabouy terus melaungkan amaran bahawa dia bakal menggegarkan arena olahraga rantau ini apabila mencipta kejutan dalam acara 400m dalam dewan awal pagi tadi.

Malah dia kini juga landasan tepat bagi meleburkan rekod kebangsaan acara 400 meter (m) luar dewan yang berusia 30 tahun milik Allahyarhamah Rabia Abdul Salam.

Pelari berusia 25 tahun itu sekali lagi memperharui rekod kebangsaan 400m dalam dewan buat kali keempat dengan catatan 52.27 saat (s) sekali gus memenangi pingat emas di Kejohanan Trek dan Balapan Dalam Dewan Divisyen II Persatuan Olahraga Kolej Kebangsaan (NCAA) di Virginia Beach, Virginia, Amerika Syarikat (AS), awal pagi tadi.

Shereen mengatasi Shiean Walters yang mengakhiri aksi final di tempat kedua dengan catatan 53.54s manakala Tiffany Hughey ketiga 53.68s.

Berdasarkan catatan Shereen itu, dia yang ketika ini menuntut di Winona State University di Minnesota, dia dijangka tidak berdepan masalah untuk meleburkan rekod luar dewan milik Rabia 52.56s yang melakukannya pada 1993 di Filipina apabila beraksi dalam kejohanan luar dewan bermula hujung bulan depan.

Kejohanan dalam dan luar dewan adalah berbeza dengan kebiasaannya masa akan lebih pantas bagi acara luar dewan disebabkan pelari hanya perlu berlari satu pusingan dan dua selekoh.

Ibu Shereen, Josephine Mary Singarayar yang juga bekas atlet olahraga kebangsaan nyata berbangga dengan pencapaian anak bongsunya itu dan menyifatkan segala kerja keras dan pengorbanan yang dilakukannya semakin menampakkan hasil yang positif.

"Saya harap dia akan terus mempamerkan peningkatan dan meraih pencapaian di peringkat yang lebih tinggi. Dengan catatan dalam dewan yang dilakukannya ini, saya percaya dia mampu berlari lebih pantas apabila memulakan kejohanan luar dewan di AS bermula hujung bulan depan," katanya.

Josephine turut memberitahu Shereen mengintai peluang untuk menaiki podium pada Sukan Sea Kemboja dari 5 hingga 17 Mei depan dengan dia akan menjadi taruhan skuad olahraga negara bagi acara 200, 400 dan 4x400m di temasya dwitahunan itu.

"Memang ini adalah hasrat Shereen untuk menaik podium di Sukan Sea. Jika dia berada pada tahap prestasi terbaiknya pada hari pertandingan nanti, saya percaya dia mempunyai peluang yang tinggi untuk memenangi pingat emas bagi acara 400m," katanya.

Pada Sukan Sea Hanoi, dua tahun lalu, emas acara 400m wanita dimenangi atlet Vietnam, Nguyen Thi Huyen dengan catatan 52.83s.

Pada Mac tahun lalu, nama Shereen mula menjadi sebutan apabila dia melebur rekod kebangsaan dalam dewan milik Noraseela Mohd Khalid 54.58s yang dilakukan pada 2006 dengan catatan masa 53.79s.

Dia kemudiannya memperbaharui rekod berkenaan dengan catatan 53.47s ketika Kejohanan Bearson Gathje Classics di Minnesota, Januari lalu sebelum sekali lagi mengatasinya ketika memenangi pingat emas pada Kejohanan Olahraga Jemputan Lewis Illinois, Chicago dengan catatan 52.87 saat (s), bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mac 2023 @ 3:41 PM