Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memperhalusi bentuk bantuan untuk disalurkan kepada atlet olahraga Shereen Samson Vallabouy.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, ia bagi memastikan prestasi baik dapat dicapai atlet berpotensi itu kerana difahamkan setakat ini Majlis Sukan Negara (MSN) tidak memberikan bantuan.

"Namun, beliau (Shereen) adalah atlet yang memang dalam radar MSN dan mendapat biasiswa pelajaran di sebuah universiti di Amerika Syarikat.

Ahmad Faizal Azumu
Ahmad Faizal Azumu

"Bagi bantuan lain, ia tidak termasuk pada kategori sedia ada di dalam MSN, namun kita akan memperhalusi bantuan bagaimana yang boleh diberikan kepada Shereen, selain akan memperhalusi jika atlet itu memerlukan bantuan kewangan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir merasmikan majlis penutupan 24th Annual General Meeting Panther Athletics Club, Ipoh di di sini hari ini.

Semalam, media melaporkan KBS sentiasa memantau pencapaian Shereen yang menakluki acara 400 meter di Kejohanan Trek dan Padang Dalam Dewan Divisyen II National Collegiate Athletic Association (NCAA) di Kansas, Amerika Syarikat, 12 Mac lalu.

Shereen atlet wanita pertama yang mencatatkan masa 53.79 saat (s) dan memperbaiki catatan peribadi beliau 54.94s serta memecahkan rekod kebangsaan 16 tahun yang dipegang Noraseela Mohd Khalid dengan catatan 54.58s bagi acara 400 meter dalam dewan.

Shereen yang juga anak kepada bekas atlet negara Samson Vallabuoy dan Josephine Mary, kini menuntut di Winona State University, Minnesota dalam bidang rekreasi dan pelancongan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Mac 2022 @ 8:27 PM