SHEREEN (kanan) meraikan kejayaan bersama Zaimah Atifah.
SHEREEN (kanan) meraikan kejayaan bersama Zaimah Atifah.

Kuala Lumpur: Atlet negara Shereen Samson Vallabouy menambah sebutir pingat emas acara 400m wanita pada Kejohanan Olahraga Remaja Asia Tenggara 2015 di Stadium Mini Majlis Sukan Negara (MSN), semalam.

Shereen, 17 tahun, berjaya melakukan catatan peribadi terbaik dengan 55.12 saat menewaskan rakan sepasukannya Zaimah Atifah Zainuddin yang meraih pingat perak dengan catatan masa 56.32s.

Pingat gangsa dimenangi Chan Thi Thuy dari Vietnam 57.24s.

“Saya sangat gembira dapat melakukan catatan peribadi terbaik di sini. Terima kasih kepada jurulatih dan keluarga saya yang selalu memberikan sokongan untuk cemerlang dalam sukan olahraga,” katanya.

Sheeren, anak kepada pasangan atlet tersohor negara pada era 80-an dan 90-an, Samson Vallabouy dan Josephine Mary, berkata dia akan menyertai Sukan SEA Singapura Jun ini selepas melepasi kelayakan di Kejohanan Terbuka Malaysia, bulan lepas.

“Sasaran saya adalah untuk melakukan catatan peribadi terbaik bagi acara 400m di Sukan SEA nanti,” kata atlet dri Ipoh, Perak itu.

Sementara itu, kecederaan buku lali kanan menjadi faktor atlet remaja negara Andre Anura terlepas pingat emas bagi acara lompat kijang.

Andrea yang berasal dari Tenom, Sabah membuat catatan 14.46m di belakang pemenang pingat emas Wasan Kammak dari Thailand dengan 14.76m.

Atlet berusia 19 tahun itu berkata dia berasa kesakitan pada lompatan pertama yang menjejaskan aksinya.

Malaysia meraih enam pingat emas, 13 perak dan 12 pingat gangsa. Thailand mengungguli dengan 17 pingat emas, dua pingat perak dan empat pingat gangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 April 2015 @ 7:24 AM