SHEREEN ungguli acara 400m di Kansas, Amerika Syarikat. FOTO Agensi
SHEREEN ungguli acara 400m di Kansas, Amerika Syarikat. FOTO Agensi
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Atlet olahraga wanita kebangsaan Shereen Vallabouy mahu terus mengekalkan aksi konsisten dalam usaha melakar lebih banyak kejayaan pada kejohanan akan datang.

Shereen sebelum ini mengejutkan ramai pihak apabila menjuarai acara 400 meter (m) Kejohanan Divisyen 2 Trek dan Padang Dalam Dewan National Collegiate Athletic Association (NCAA) di Kansas, Amerika Syarikat (AS), Sabtu lalu dengan memecahkan rekod kebangsaan selepas mencatat masa 53.79 saat (s).

Kejayaan itu sekali gus memadam rekod kebangsaan berusia 16 tahun milik Noraseela Khalid yang mencatat 54.58s di Jerman pada 2006.

Pelari berusia 24 tahun itu berkata, berkata dia akan terus bekerja keras dan teruja untuk memulakan musim kejohanan luar dewan yang dijadual bermula hujung bulan depan.

"Saya tidak akan berada di sini hari ini tanpa sokongan daripada rakan sepasukan dan jurulatih. Saya berterima kasih kepada Winona State University yang memberi peluang kepada saya untuk meneruskan kerjaya sebagai atlet dan pelajar di AS.

"Apa yang boleh saya katakan adalah bersyukur kerana mendapat peluang untuk beraksi dalam acara 4x400m bersama rakan sepasukan yang terbaik dalam kejohanan tertinggi peringkat kolej dengan meraih kedudukan keseluruhan di tempat kesembilan.

"Saya akan terus bekerja keras dan tidak sabar untuk memulakan aksi dalam saingan luar dewan," katanya.

Mengikut rekod, Shereen sebelum ini pernah berada dalam program latihan 'Kita Juara' kendalian Majlis Sukan Negara (MSN) sebelum memutuskan untuk keluar daripada program selepas ditawarkan biasiswa NCAA bagi menyambung pengajian di AS.

Ketua jurulatih olahraga kebangsaan, Mohd Manshahar Abdul Jalil percaya sekiranya Shereen mampu meningkatkan lagi prestasinya, dia berpotensi untuk memecahkan rekod kebangsaan 400m luar dewan milik Allahyarham Rabia Abdul Salam yang dilakar pada 1993 di Filipina.

Malah, pemenang pingat gangsa Sukan Sea Singapura 2015 itu turut berpotensi untuk beraksi pada Sukan Komanwel Birmingham pada 28 Julai hingga 8 Ogos ini termasuklah Sukan Asia Hangzhou, dari 10 hingga 25 September sekiranya dapat menampilkan larian cemerlang selain melepasi had masa kelayakan ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mac 2022 @ 2:47 PM