SHAFILY memberi tunjuk ajar kepada pemainnya. FOTO Futsal Terengganu
SHAFILY memberi tunjuk ajar kepada pemainnya. FOTO Futsal Terengganu
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Terengganu meletakkan sasaran lapan kelompok terbaik dalam kancah Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) yang bakal membuka tirainya pada 7 Januari 2022.

Pengendali skuad itu, Mohd Shafily Jusoh berkata, sasaran berkenaan dilihat realistik buat pasukannya kerana tempoh latihan yang begitu singkat sebelum kejohanan bermula.

Selain itu menurut bekas pemain futsal kelab T-Team itu, skuadnya juga turut diperkuatkan dengan muka baharu sekali gus menyaksikan beliau tidak mahu memberi tekanan kepada anak buahnya.

Bagaimanapun menurut jurulatih berusia 35 tahun yang mengambil alih jawatan itu daripada pengendali terdahulu, Mohd Rozairi Ahmad berkata, jika berjaya menduduki tempat lebih baik, ianya bonus buat pasukannya.

"Dengan tempoh persiapan singkat iaitu lebih kurang sebulan, kami tidak mahu memberi tekanan kepada pemain, sebaliknya kedudukan lapan terbaik sudah memadai untuk layak beraksi dalam saingan Piala Futsal Malaysia.

"Lagipun barisan pemain juga ada muka baharu termasuk empat pemain berusia bawah 19 tahun di samping pemain sedia ada iaitu pasangan adik-beradik, Mohd Hafiz dan Mohd Hafizi Ismail, Ammirul Izzad Adang, Mohd Irwan Mazlan serta penjaga gol berpengalaman, Tengku Azraf Fahmi Che Ku Sulong.

"Jadi sasaran itu adalah realistik, tapi jika berjaya menamatkan saingan di kedudukan lebih baik, ianya bonus buat pemain," katanya ketika dihubungi.

Mengulas persiapan pasukannya, Shafily menjelaskan skuadnya sudah melalui tiga aksi pemanas badan bagi membentuk keserasian selain mendapatkan rentak permainan.

"Aksi pemanas badan pertama bertemu Kelantan menyaksikan kami menang 4-3 sebelum tumpas 5-7 kepada Negeri Sembilan dan terikat 2-2 dengan Kuala Lumpur City FC (KL City FC)," katanya.

Aksi pertama skuad itu bakal bertemu KL City FC pada 8 Januari diikuti menentang Kedah sehari kemudian.

Pada edisi terakhir dua tahun lalu sebelum liga dibatalkan berikutan wabak pandemik Covid-19, skuad Terengganu berjaya menamatkan saingan liga di tempat ketiga.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Disember 2021 @ 10:32 PM