PASUKAN TFC mahu jadi pencabar terkuat musim ini dalam saingan Liga Futsal Kebangsaan. FOTO/MALIK MUHAMAD
PASUKAN TFC mahu jadi pencabar terkuat musim ini dalam saingan Liga Futsal Kebangsaan. FOTO/MALIK MUHAMAD
Malik Muhamad

PEMAIN muda berbakat menjadi sandaran skuad futsal Terengganu FC (TFC) untuk muncul sebagai pencabar utama saingan Liga Futsal Kebangsaan yang bakal membuka tirainya malam esok.

Penolong jurulatih TFC, Mohd Shafily Jusoh berkata skuad yang diberi nafas baharu itu juga sudah belajar daripada kesilapan lalu bagi memastikan impian untuk berada pada kelompok teratas liga tercapai dalam saingan kali ini.

“Kita sedar skuad kami bukan pasukan pilihan untuk berada di kedudukan terbaik liga, tapi berdasarkan kepada senarai barisan pemain yang bakal membawa cabaran TFC dalam kejohanan kali ini, ia bakal menjadi senjata kami.

“Kami menyenaraikan seramai 20 pemain termasuk seorang yang berusia 26 tahun manakala selebihnya adalah pemain muda berusia antara 18 hingga 21 tahun.

“Saya yakin pemain yang membarisi skuad TFC kali ini mampu menggalas tugasan dengan cemerlang sekali gus dapat memperbaiki kedudukan dalam saingan liga musim ini,” katanya.

Dalam saingan musim lalu, pasukan T-Team yang mewakili negeri Terengganu hanya mampu berada di tangga kelapan liga daripada sepuluh pasukan yang bertanding.

TFC bakal bertemu skuad Kuala Lumpur dalam aksi pertama di Kompleks Sukan Panasonic, Shah Alam pada jam 9 malam, disusuli Kuala Lumpur City FC sehari selepas itu.

“Dalam saingan kali ini kami mensasarkan untuk menempatkan diri dalam kelompok lima pasukan terbaik liga musim ini selepas hampir terkeluar dalam saingan liga musim lalu.

“Bagaimanapun jika kami berjaya mendapat kedudukan yang lebih baik, ia bonus buat pasukan, tapi kami ingatkan pemain perlu memberi komitmen 100 peratus dalam setiap perlawanan bagi memastikan hasrat untuk mengutip mata demi mata terhasil,” kata Shafily yang juga bekas pemain futsal Terengganu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Februari 2018 @ 12:09 PM