NAZRUL dapat perhatian beberapa kelab Liga Perdana.
NAZRUL dapat perhatian beberapa kelab Liga Perdana.

Malik

Kuala Terengganu: Belumpun saingan Liga Malaysia (Liga M) melabuhkan tirainya musim ini, pengendali Kelantan United FC (KUFC), Nazrulerwan Makmor sudah dirisik beberapa pasukan dalam Liga Perdana musim depan.

Namun bekas pertahanan kental Selangor itu yang menggantikan jurulatih kelahiran Jepun, Akira Higashiyama pada Julai tidak menolak kemungkinan untuk kekal bersama skuad Kijang Hijau itu jika ada tawaran menarik.

Bagaimanapun, jurulatih muda meningkat naik berusia 41 tahun itu belum bersedia untuk menyambut pelawaan mana-mana kelab kerana fokusnya kini untuk membantu pasukannya mengisi slot terakhir dalam pentas Piala Malaysia musim ini.

"Secara jujurnya ada beberapa kelab bertanyakan mengenai perkara itu (bimbing pasukan mereka) dengan 'memberi salam', namun saya belum bersedia memberi jawapan lagi kerana keutamaan saya sekarang untuk menamatkan saingan liga yang berbaki satu perlawanan lagi.

"Sekiranya pihak pengurusan KUFC masih berminat untuk mengekalkan khidmat saya musim depan, ianya tidak menjadi masalah untuk saya kekal, tapi jika sebaliknya saya boleh usahakan membimbing pasukan lain," katanya selepas berakhir perlawanan menentang Terengganu FC II (TFC II) yang berkesudahan skuadnya menang tipis 1-0 hasil jaringan Mohamad Hakim Ismail pada minit ke-19.

Mengulas perlawanan itu, jurulatih kelahiran Selangor itu akui lega dengan kemenangan itu selain melihat skuadnya kini berada pada landasan terbaik untuk mengintai slot terakhir pasukan yang layak beraksi pada pentas Piala Malaysia musim ini.

Bagaimanapun katanya, pasukannya perlu merakam kemenangan besar pada aksi tertunda terakhir menentang Kuching City FC (KCFC) di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang, Johor, Jumaat ini.

"Kita perlu menang besar iaitu dua atau tiga jaringan tanpa bolos ke atas skuad The Cats itu bagi memintas PDRM FC bagi menjamin slot ke Piala Malaysia.

"Insya-Allah pemain akan memberikan fokus 100 peratus dengan bertahan dan menyerang kerana kita mahukan slot Piala Malaysia lebih-lebih lagi aksi Piala Cabaran musim ini dibatalkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 September 2021 @ 2:15 PM