PEMAIN TFC,  Syafik Ismail (tengah) diasak pemain PJ City FC, Kugan Dhevarajan (kan an) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.  FOTO Ghazali Kori
PEMAIN TFC, Syafik Ismail (tengah) diasak pemain PJ City FC, Kugan Dhevarajan (kan an) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. FOTO Ghazali Kori
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pengendali Petaling Jaya City FC (PJ City FC), P Maniam belum lagi menekan butang kecemasan walaupun skuadnya kini menghuni tangga kedua tercorot Liga Super dengan mengutip 12 mata hasil 13 perlawanan.

Katanya, berbaki sembilan perlawanan, beliau meletakkan harapan tinggi skuadnya mampu bangkit memperbaiki kedudukan lebih baik dalam carta liga.

"Kami tidak cemas dengan kedudukan terkini pasukan, kita sasarkan untuk berada sekurang-kurangnya dalam kelompok lima teratas liga musim ini walaupun tanpa pemain import.

"Jadi kita masih berada pada landasan terbaik untuk memburu sasaran itu walaupun kini menghuni di kedudukan kesebelas liga, lagipun perbezaan mata tidak begitu jauh.

"Tapi kita perlu raih kemenangan untuk memperbaiki kedudukan, jika kita lihat aksi sebelum ini, sepatutnya kita dapat mengutip tiga mata penuh kerana pemain berjaya mempamerkan aksi terbaik, malam ini (semalam) kita dapat kutip satu mata, ianya mampu memberikan semangat untuk meneruskan perlawanan selepas ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas anak buahnya berjaya mengikat Terengganu FC (TFC) 0-0 pada aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak.

Ketika ditanya mengenai kontraknya bersama skuad The Phoenix musim depan, bekas pemain kebangsaan itu menjelaskan setakat ini belum ada lagi sebarang tawaran daripada pasukan itu.

"Kontrak saya bakal berakhir musim ini, untuk musim depan tidak berapa pasti lagi, kita tunggu dan lihat, lagipun saya belum mendapat sebarang tawaran daripada pasukan lain," katanya yang akui pasukannya mengamalkan corak permainan bertahan pada babak pertama sebelum menukar rentak menyerang pada separuh masa kedua, namun masih gagal memecah benteng TFC.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Ogos 2022 @ 1:00 PM