PEMAIN Kuching City FC giat menjalani latihan menjelang aksi Liga Malaysia musim ini. FOTO Ihsan KCFC
PEMAIN Kuching City FC giat menjalani latihan menjelang aksi Liga Malaysia musim ini. FOTO Ihsan KCFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pendatang baharu Liga Super, Kuching City FC (KCFC) bakal 'berkampung' selama seminggu di Kemboja dalam misi memperkasakan lagi skuad itu menjelang aksi liga yang bakal membuka tirainya pada 24 Februari depan.

Pengendalinya, Irfan Bakti Abu Salim berkata, rombongan skuadnya bakal 'terbang' ke negara berkenaan pada 1 Februari ini dan akan menentang tiga pasukan utama dalam Liga Kemboja.

Katanya, aksi lebih kompetitif dalam saingan liga utama negara musim ini berbanding aksi Liga Perdana musim lalu menuntut pasukannya melakukan persiapan lebih rapi agar tidak menjadi sekadar pasukan pelengkap sebelum bertarung dalam pentas Liga Malaysia (Liga M).

"Kita akan berlepas ke Kemboja pada 1 hingga 7 Februari ini, di negara berkenaan kita akan menentang dengan tiga kelab utama liga itu bagi menilai kekuatan dan kelemahan pasukan sebelum beraksi dalam saingan Liga Super nanti.

"Saya meletakkan impian yang tinggi agar pemain dapat memperagakan aksi bertenaga dan lebih penting mereka mampu membentuk keserasian serta gandingan dan kombinasi yang mantap antara mereka walaupun ada muka baharu.

"Keputusan dalam tiga aksi persahabatan itu nanti adalah perkara kedua," kata jurulatih berpengalaman berusia 72 tahun itu ketika dihubungi.

Mengenai sasaran skuadnya pada musim ini, bekas pengendali Terengganu FC (TFC) itu mahu menamatkan saingan pada musim ini sekurang-kurangnya di pertengahan liga walaupun sedar bukan mudah untuk merealisasikan impian itu.

"Sebagai pasukan baharu dalam Liga Super, sudah pasti kami kurang daripada segi pengalaman selain 13 lagi pasukan lain yang berada dalam liga pastinya juga mempunyai misinya yang tersendiri.

"Namun kami tidak mahu mengalah lebih awal sebelum bertarung, kami juga tidak mahu menamatkan saingan di dasar liga, sebaliknya kelompok pertengahan liga sudah memadai, namun jika pasukan mampu mara lebih jauh, ianya sebagai bonus buat pemain," kata Irfan Bakti yang sudah melengkapkan senarai penuh pemain dalam skuadnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 January 2023 @ 4:46 PM