IRFAN Shamsuddin mempamer aksi konsisten. FOTO Bernama
IRFAN Shamsuddin mempamer aksi konsisten. FOTO Bernama
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pencapaian atlet di Sukan Sea Vietnam cukup penting dalam usaha menempah tiket untuk beraksi di temasya lebih besar seperti Sukan Komanwel Birmingham dan Sukan Asia Hangzhou kelak.

Ketua jurulatih olahraga kebangsaan, Manshahar Abdul Jalil berkata, ketika ini fokus atlet adalah memperbaiki rekod masing-masing selain berusaha memastikan prestasi mereka terus konsisten.

Beliau berkata, kejohanan tertutup olahraga yang berlangsung baru-baru ini boleh dikatakan sebagai kayu pengukur kepada mereka untuk perbaiki prestasi sekali gus tampil lebih menyakinkan pada kejohanan akan datang.

Katanya, walaupun ada antara atlet kebangsaan gagal menyerlah namun beliau yakin mereka tidak berhadapan masalah untuk mengekalkan pingat emas dimenanginya sebelum ini apabila menyertai Sukan Sea Vietnam pada Mei tahun depan.

"Secara keseluruhan, pencapaian kejohanan tertutup olahraga baru-baru ini menyaksikan prestasi atlet adalah memuaskan walaupun beraksi dalam keadaan cuaca hujan.

"Memang terdapat atlet kebangsaan gagal menyinar namun tidaklah semua kerana prestasi seperti atlet lontar tukul besi wanita negara, Grace Wong Xiu Mei dan jaguh lempar cakera negara, Muhammad Irfan Shamsudin mampu mengekalkan aksi konsisten.

"Saya yakin kita mampu meraih pingat emas seperti yang dimenangi pada Sukan Sea sebelum ini apabila setiap atlet melakukan persiapan lebih rapi," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Mengikut rekod, Sukan Sea Vietnam dijadual bermula 12 hingga 23 Mei, diikuti Sukan Komanwel (28 Julai hingga 8 Ogos) dan Sukan Asia (10 hingga 25 September).

Pada Sukan Sea Filipina 2019, Malaysia berada dikedudukan kelima apabila membawa pulang 55 emas, 58 perak dan 71 gangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Disember 2021 @ 5:18 PM