MOHD Mansahar (dua dari kanan) bersama John Ayavu (dua dari kiri) serta Rayzam Shah (kiri) dan Queenie Ting pada sidang media, hari ini. FOTO AZIAH AZMEE
MOHD Mansahar (dua dari kanan) bersama John Ayavu (dua dari kiri) serta Rayzam Shah (kiri) dan Queenie Ting pada sidang media, hari ini. FOTO AZIAH AZMEE
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Sasaran lima pingat emas olahraga pada temasya Sukan Sea Hanoi, Vietnam bukanlah mimpi di siang hari apabila matlamat itu diyakini mampu dicapai berdasarkan prestasi terkini barisan atlet negara.

Ketua jurulatih olahraga kebangsaan, Manshahar Abdul Jalil berkata, sasaran diletakkan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) itu bukanlah mustahil untuk dicapai hingga memberi tekanan kepada atlet.

Beliau berkata, berdasarkan kepada pencapaian terkini termasuk jumlah atlet bakal menyertai kejohanan dwi tahunan itu, ia memberi gambaran kemungkinan lebih daripada lima pingat emas boleh dibawa pulang kelak.

"Berdasarkan kepada barisan 36 atlet membabitkan masing-masing 18 orang dalam kategori A dan B, ia memberi gambaran lima sasaran pingat emas adalah realistik.

"Jika ada rezeki, mungkin kita akan melihat ada tambahan kepada pungutan pingat emas buat atlet olahraga negara," katanya pada sidang media di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil, hari ini.

Hadir sama, pengurus pasukan olahraga, John Ayavu bersama dua atlet, Rayzam Shah Wan Sofian dan Queenie Ting Kung Ni.

Terdahulu, KOM optimis atlet negara mampu sekurang-kurangnya mengulangi pencapaian dua tahun lalu di Filipina dengan memenangi lima pingat emas pada Sukan Sea 2021 di Hanoi, Vietnam, bulan depan.

Malah, Presiden KOM, Datuk SM Muthu percaya bukan sesuatu yang mustahil sekiranya skuad olahraga membawa pulang lebih daripada lima emas dari Vietnam.

Sementara itu, Manshahar berkata, pihaknya berpuas hati dengan pemilihan atlet yang akan membawa cabaran negara ke temasya terbabit.

Beliau berkata, pemilihan atlet itu berdasarkan kepada prestasi terkini mereka, sekali gus berpeluang membawa pulang pingat untuk negara.

Katanya, dia berpuas hati dengan pemilihan atlet negara kerana untuk memilih (atlet), ada kriteria ditetapkan dan pada masa sama, ada jawatankuasa yang membuat pemilihan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 April 2022 @ 4:59 PM