KETUA Jurulatih Olahraga, Manshahr Abdul Jalil. -FOTO NSTP
KETUA Jurulatih Olahraga, Manshahr Abdul Jalil. -FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Barisan kejurulatihan olahraga negara akan membentang laporan bedah siasat membabitkan penyertaan atlet negara di kejohanan dunia pada minggu depan.

Ketua jurulatih olahraga kebangsaan Manshahar Abdul Jalil berkata, pembentangan bedah siasat itu merangkumi penyertaan atlet olahraga di temasya Komanwel Birmingham dan Sukan Perpaduan Islam (ISG) 2021 yang berlangsung di Konya, Turki, baru-baru ini.

Manshahar berkata, hasil daripada bedah siasat itu cukup penting untuk menambah baik program membabitkan atlet olahraga negara supaya mereka lebih berdaya saing dan memberikan keputusan positif pada penyertaan di peringkat antarabangsa kelak.

"Pembentangan bedah siasat sepatutnya dalam minggu ini namun kita tangguhkan kerana mahu merangkul semua laporan membabitkan penyertaan atlet negara di kejohanan antarabangsa.

"Kita mahu mengenalpasti kelemahan setiap atlet negara dan mengetahui keadaan atau situasi sebenar mereka ketika menyertai kejohanan itu," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Mengikut rekod, tujuh atlet olahraga negara membawa cabaran negara di Sukan Komanwel baru-baru ini membabitkan atlet lompat tinggi, Nauraj Singh, Andre Anura Anuar (lompat kijang), Irfan Shamsuddin (lempar cakera), Grace Wong (tukul besi), Russel Alexander Nasir Taib (200 meter), Shereen Samson Vallabouy (400 meter) dan Jackie Wong (tukul besi).

Namun, hanya beberapa atlet antaranya Grace berjaya melangkah ke pusingan akhir manakala yang lain terkandas seawal peringkat kelayakan.

Malah, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menyatakan olahraga antara sukan yang perlu diberi perhatian serius malah menyarankan sistem latihan mereka dirombak semula gara-gara prestasi membimbangkan di Birmingham.

Presidennya, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, prestasi sukan olahraga hanya berlegar di peringkat Sukan Sea dan ini perlu diubah untuk membolehkan mereka bersaing di peringkat lebih tinggi.

Sementara itu, Manshahar berkata, pencapaian kurang memuaskan atlet olahraga di temasya Komanwel tidak menggambarkan keseluruhan prestasi terkini mereka memandangkan ada antaranya mengharungi tempoh persiapan yang agak singkat.

"Kekurangan penyertaan di peringkat antarabangsa sebelum berlangsungnya Komanwel menyebabkan prestasi mereka kurang memuaskan namun perkara itu akan ditangani oleh barisan kejurulatihan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Ogos 2022 @ 2:42 PM