PENGURUS pasukan olahraga negara, Iyaru Muthusamy (tiga kanan) bersama atlet kebangsaan di Birmingham.
PENGURUS pasukan olahraga negara, Iyaru Muthusamy (tiga kanan) bersama atlet kebangsaan di Birmingham.
Daripada Amirullah Andi Nur


Birmingham: "Harapan atau sasaran saya terhadap mereka ada dua. Pertama, saya harap mereka mampu mencatatkan pencapaian terbaik peribadi dan kalau berupaya memecahkan rekod, ia lebih baik.

"Kedua, saya harap mereka mampu layak hingga ke final. Kalau ini dapat dilakukan, pada saya ia satu pencapaian besar kerana atlet negara sudah berada pada kedudukan lapan terbaik daripada 72 negara bertanding."

Itulah luahan pengurus pasukan olahraga negara, Iyaru Muthusamy ketika diminta mengulas mengenai sasaran terhadap tujuh atlet yang membawa cabaran negara pada Sukan Komanwel Birmingham 2022.

Tujuh atlet berkenaan adalah Nauraj Singh Randhawa bagi acara lompat tinggi, Muhammad Irfan Shamsuddin (lempar cakera), Russel Alexander Nasir Taib (200m), Jackie Wong Siew Cheer (baling tukul besi), Andre Anura (lompat kijang), Shereen Samson Vallabouy (400m) dan Grace Wong Xiu Mei (baling tukul besi).

Mereka ke sini dengan disertai dua jurulatih iaitu Ahmad Firdaus Salim dan Gu Yuan.

"Kalau ada di antara atlet kita layak hingga ke final, nama negara dan Jalur Gemilang sudah pasti akan terkenal serta berkibar megah di Stadium Alexander nanti."

Iyaru yang juga Pengerusi Jawatankuasa Disiplin Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) berkata, secara keseluruhannya semua atlet terbabit sudah bersedia untuk membawa cabaran negara pada saingan dijadualkan bermula Selasa ini.

Katanya, kecuali Russel yang hanya akan tiba di sini, hari ini, dari Australia, semua enam atlet lain sedang giat menjalani latihan berhampiran perkampungan atlet di Universiti Birmingham.

"Mesyuarat pengurus pasukan akan diadakan pada 1 Ogos dan selepas itu, baru kita tahu dengan lebih lengkap mengenai pertandingan," katanya.

Mengenai peluang meraih pingat, Iyaru berkata, berdasarkan prestasi semasa, Irfan dan Jackie yang meraih emas pada temasya Sukan Sea di Hanoi, Vietnam, Mei lalu, dilihat berpotensi berbuat demikian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Julai 2022 @ 2:26 PM