NOAH Lyles menjadi taruhan AS di Kejohanan Olahraga Dunia. FOTO AFP
NOAH Lyles menjadi taruhan AS di Kejohanan Olahraga Dunia. FOTO AFP
Reuters

Washington: Amerika Syarikat (AS) akan menghantar seramai 139 atlet yang terdiri daripada pemenang pingat emas dunia dan Olimpik ke Kejohanan Olahraga Dunia di Budapest diketuai pelari pecut, Noah Lyles dan Christian Coleman.

Pasukan itu akan merangkumi 82 atlet daripada skuad Kejohanan Dunia tahun lalu di Oregon di mana AS mendominasi saingan itu selepas memenangi 33 pingat, termasuk 13 emas.

"Selepas prestasi yang luar biasa di Oregon22, Pasukan USATF (Persekutuan Padang dan Balapan Amerika Syarikat) bersedia meneruskan kejayaan di Budapest," kata Ketua Pegawai Eksekutif USATF, Max Siegel dalam satu kenyataan.

"Kami sangat teruja melihat setiap atlet memberikan komitmen mereka menjelang saingan di Budapest untuk mempertahankan Trofi Pasukan."

Lyles, juara dunia 200 meter (m) di Oregon dan Doha, akan mencuba meraih kemenangan hatrik untuk acara kegemarannya itu selain turut beraksi menerusi acara 100m dalam usaha muncul pelari pertama beraksi dua acara pecut sejak Usain Bolt melakukannya pada 2015.

Acara 100m akan menampilkan Lyles; pemenang di Doha, Christian Coleman dan pemenang di Oregon serta pingat perak Olimpik, Fred Kerley.

Sha'Carri Richardson akan beraksi dalam acara pecut 100 dan 200m wanita ketika AS cuba menamatkan penguasaan Jamaica dalam acara pecut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Ogos 2023 @ 12:59 PM