PELARI Bahamas, Steven Gardiner meraikan kejayaannya memenangi pingat emas acara 400m lelaki di Tokyo 2020, hari ini. FOTO AFP
PELARI Bahamas, Steven Gardiner meraikan kejayaannya memenangi pingat emas acara 400m lelaki di Tokyo 2020, hari ini. FOTO AFP
AFP

Tokyo: Pelari Bahamas, Steven Gardiner merangkul pingat emas acara 400 meter (m) lelaki di Olimpik Tokyo 2020, hari ini, sekali gus kekal tanpa kalah dalam tempoh empat tahun.

Juara dunia 2019 berusia 25 tahun itu melintasi garisan penamat dengan catatan 43.85 saat (s) manakala pelari Colombia, Anthony Jose Zambrano menang gangsa dengan catatan 44.08s.

Pelari Grenada, Kirani James yang menang emas di Olimpik London 2012 dan perak di Olimpik Rio 2016, kali ini menang gangsa dengan catatan 44.19s.

Kemenangan Gardiner itu memastikan dominasinya dalam larian satu pusingan itu sejak empat tahun lalu.

Atlet Bahamas itu tidak kalah acara 400m disertainya sejak menang perak di belakang pelari Afrika Selatan, Wayde van Niekerk di Kejuaraan Dunia 2017.

Selain tiga perlumbaan yang tidak ditamatkannya kerana kecederaan, Gardiner tidak kalah dalam 20 daripada 23 perlumbaan disertainya sejak 2017.

Kemenangan Gardiner itu meningkatkan kemungkinan gelaran Olimpik berganda bagi Bahamas dalam acara 400m di Tokyo 2020, apabila pemenang emas Rio 2016, Shaunae Miller-Uibo berlari di final acara wanita, esok.

Kemenangan Gardiner tidak boleh dipertikaikan apabila dia menanti dengan sabar sebelum meluru dan mendahului perlumbaan sehingga garisan penamat.

Apabila berada di depan, Gardiner memecut laju untuk mencatatkan masa terpantasnya bagi 2021.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Ogos 2021 @ 9:21 PM