KHAIRUL (kiri) dan Haiqal kembali berlatih di bawah kendalian Poad (tengah)
KHAIRUL (kiri) dan Haiqal kembali berlatih di bawah kendalian Poad (tengah)
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) mahu dua jaguh pecut negara iaitu Khairul Hafiz Jantan dan Muhammad Haiqal Hanafi memberi sebab atau penjelasan terlebih dahulu sebelum kembali ke pangkuan bekas jurulatihnya Mohd Poad Md Kassim.

Presidennya Datuk SM Muthu berkata, penjelasan itu penting bagi mengetahui punca sebenar dua pelumba negara terbabit mahu mendapatkan kembali sentuhan Poad.

Beliau berkata, KOM tiada masalah untuk memberikan 'lampu hijau' kepada dua pelumba berkenaan untuk mendapatkan tunjuk ajar Poad namun pemergian itu bukanlah atas dasar peribadi atau mempunyai masalah lain hingga menyebabkan mereka bertindak demikian.

"Kami sudah mengadakan perbincangan berkaitan perkara terbabit bersama ahli jawatankuasa KOM dan pada masa ini membenarkan mereka untuk kembali kepada Poad.

"Cuma, KOM mahukan penjelasan lanjut daripada mereka supaya kami dapat menambah baik atau perbaiki kelemahan yang ada.

"Pada masa sama, kami tidak mahu menjadi ikutan atlet lain yang akan sewenangnya menukar jurulatih sekali gus menjejaskan prestasi mereka," katanya ketika dihubungi Arena Metro. Terdahulu, Khiarul Hafiz yang dikenali sebagai The Speedy Jantan yang juga pemegang rekod kebangsaan acara 100 meter (m) bersama pemenang pingat emas Sukan Sea Filipina, Haiqal dimaklumkan sudah bertemu dengan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) berhubung hasrat mereka itu.

Mereka dijadualkan kembali di bawah sentuhan Poad selewat-lewatnya pada minggu kedua Ramadan dalam usaha mengejar catatan kelayakan ke temasya Sukan Sea Vietnam November ini.

Sementara itu, Poad pula tidak pernah memaksa atau meminta kedua-dua bekas anak didiknya untuk kembali berlatih di bawah bimbingannya.

Malah, beliau sentiasa mendoakan yang terbaik buat dua juara Asia Tenggara iaitu Khairul Hafiz Jantan dan Muhammad Haiqal Hanafi dalam menempuh karier mereka sebagai atlet pecut negara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 April 2021 @ 1:57 PM