MUMTAZ Jaafar.
MUMTAZ Jaafar.
Aida Adilah Mat


TIMBALAN Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Paduka Mumtaz Jaafar menafikan mereka berhasrat 'merampas' dua pelari pecut negara, Khairul Hafiz Jantan dan Haiqal Hanafi daripada jurulatih sedia ada, Mohd Poad Md Kassim.

Menurutnya, langkah menyerapkan kedua-dua atlet itu ke dalam program pelari pecut negara adalah demi kepentingan atlet terbabit.

Mumtaz berkata, jika kedua-duanya menyatakan persetujuan mereka akan diletakkan di bawah kendalian pengarah teknikal skuad olahraga negara, Dwayne Millers, di Bukit Jalil.

''Saya secara peribadi mengharapkan mereka akan datang berlatih di KL (Kuala Lumpur) sebab mereka sudahpun berada di tahap yang tinggi.

''Kita sudah bayar jurulatih luar dengan harga yang mahal dan beliau pun bersetuju mengambil lebih ramai atlet dan bekerja dalam satu kumpulan.

''Jurulatih yang kita ada akan bantu, dia pun akan belajar. Ini satu pembaharuan yang kita akan lakukan untuk kepentingan atlet dan jurulatih tempatan,'' katanya.

Mumtaz berkata, beliau amat berharap perkara itu akan direalisasikan dalam masa terdekat ini namun sebelum semuanya berlaku satu perbincangan akan dilakukan membabitkan jurulatih Poad dan atlet itu sendiri.

''Kita tak nak rampas. KOM akan bincang dengan Poad. InsyaAllah mereka akan diserapkan ke Bukit Jalil secepat mungkin.

''KOM akan pastikan atlet dan jurulatih itu faham akan situasi sekarang ini dengan kelebihan kepada kedua-dua belah pihak,'' katanya.

Khairul Hafiz antara atlet di bawah naungan Poad yang dilihat paling berjaya apabila memecahkan rekod acara 100m berusia 18 tahun milik Watson Nyambek dengan catatan 10.18 saat ketika beraksi di Sukan Malaysia Sarawak.

Haiqal pula berjaya mempertahankan gelaran raja pecut Asia Tenggara milik negara pada Sukan Sea Filipina yang lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Ogos 2020 @ 3:11 PM