HAIQAL (tengah) dan Khairul Hafiz (kiri) akan kembali berlatih di bawah bimbingan Mohd Poad. FOTO Bernama
HAIQAL (tengah) dan Khairul Hafiz (kiri) akan kembali berlatih di bawah bimbingan Mohd Poad. FOTO Bernama
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) merestui keputusan jaguh 100 meter negara, Mohd Haiqal Hanafi dan Khairul Hafiz Jantan kembali kepada 'sifu' mereka, Mohd Poad Md Kassim dengan bersyarat.

Kedua-dua pemenang pingat emas Sukan Sea 2019 dan 2017 itu perlu berulang-alik dari Pengerang, Johor ke Bukit Jalil untuk mengikuti latihan 4x100 meter di bawah bimbingan bekas pelari pecut dari Amerika Syarikat, Dwayne Miller terutama menjelang Sukan Sea Vietnam, November depan.

Presiden KOM, Datuk SM Muthu berkata, dua pelari negara itu akan mula berlatih bersama Poad dalam bulan ini untuk meningkatkan kemampuan masing-masing menjelang kejohanan akan datang.

Katanya, KOM tidak berhadapan masalah untuk melepaskan kedua-dua pemain terbabit demi meningkatkan kemampuan masing-masing pada masa akan datang.

"Antara alasan yang diberikan adalah mereka mahu kembali mendapatkan sentuhan dengan bimbingan jurulatih lama.

"Dengan itu, mengambil kira untuk kebaikan atlet, KOM dan wakil MSN (Majlis Sukan Negara) memberi kebenaran untuk mereka pulang ke Johor berlatih di bawah Poad.

"Bagaimanapun, kedua-dua atlet ini perlu pulang ke MSN untuk latihan bagi acara 4x100 meter pada masa yang ditetapkan. KOM dan MSN akan terus membantu kedua-dua atlet ini untuk mencapai prestasi terbaik mereka," katanya.

Terdahulu, Khairul Hafiz yang dikenali sebagai The Speedy Jantan dan Haiqal dimaklumkan sudah bertemu dengan KOM berhubung hasrat mereka itu.

Mereka dijadualkan kembali di bawah sentuhan Poad selewat-lewatnya pada minggu kedua Ramadan dalam usaha untuk mengejar catatan kelayakan ke temasya Sukan Sea Vietnam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 April 2021 @ 8:12 PM