POAD akan menerima sesiapa saja yang ingin berlatih di bawah bimbingannya dan beliau akan tetap beri yang terbaik. FOTO NSTP
POAD akan menerima sesiapa saja yang ingin berlatih di bawah bimbingannya dan beliau akan tetap beri yang terbaik. FOTO NSTP
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Jurulatih pecut negara, Mohd Poad Md Kassim tidak pernah memaksa atau meminta kedua-dua bekas anak didiknya untuk kembali berlatih di bawah bimbingannya.

Malah, beliau sentiasa mendoakan yang terbaik buat dua juara Asia Tenggara iaitu Khairul Hafiz Jantan dan Muhammad Haiqal Hanafi dalam menempuh karier mereka sebagai atlet pecut negara.

Kata Poad, beliau akan menerima sesiapa saja yang ingin berlatih di bawah bimbingan dan beliau akan tetap beri yang terbaik.

Justeru keputusan dua pelari negara itu kembali menjalani latihan bersamanya disambut atas dasar tanggungjawab dan cabaran.

"Saya tak pernah sama sekali menyuruh mereka untuk kembali bersama saya. Semua keputusan yang mereka lakukan adalah dibuat oleh mereka sendiri.

"Memang mereka ada menghubungi saya setiap minggu tapi hanya berhubung seperti anak bertanya khabar bapa.

"Mungkin akan ada kata-kata yang mengatakan saya memaksa mereka untuk kembali tapi ketahuilah saya tidak pernah menyuruh mereka kembali berlatih bersama saya. Kalau mereka nak kembali kepada saya, itu adalah keputusan mereka sendiri," katanya.

Terdahulu, Khiarul Hafiz yang dikenali sebagai The Speedy Jantan yang juga pemegang rekod kebangsaan acara 100 meter (m) bersama pemenang pingat emas Sukan SEA Filipina, Haiqal dimaklumkan sudah bertemu dengan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) berhubung hasrat mereka itu.

Mereka dijadualkan kembali di bawah sentuhan Poad selewat-lewatnya pada minggu kedua Ramadan dalam usaha untuk mengejar catatan kelayakan ke temasya Sukan SEA Vietnam November ini.

Untuk syarat kelayakan bagi kategori A kedua-dua atlet berkenaan perlu melepasi masa 10.49s.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 April 2021 @ 11:00 PM