Reuters

Sydney: Pemain Australia Greg Chalmers (gambar) mendahului dengan kelebihan satu pukulan pada hari kedua Terbuka Australia tetapi juara bertahan, Rory McIlroy berada di kedudukan baik untuk mempertahankan gelaran apabila berkongsi kedudukan tangga kedua.

Chalmers yang pernah dua kali menjuarai terbuka kebangsaan, membenam birdie ketujuh di lubang terakhir untuk mengumpul lima di bawah par 66, semalam.

Pemain tuan rumah berusia 41 tahun itu bagaimanapun enggan terbawa-bawa dengan pendahuluannya walaupun pemain nombor satu dunia, McIllroy sekadar mencatat 69 manakala Adam Scott mempamer kebangkitan untuk mencatat 66 pukulan.

“Saya rasa masih terlalu awal untuk bercakap mengenai kemenangan kerana pemain yang berada di belakang saya cukup hebat dan persembahan mereka juga semakin meningkat,” katanya.

“Masih terlalu awal untuk bercakap mengenai hari terakhir kejohanan.”

Aksi McIlroy semalam tidak menentu dan walaupun dia berjaya membenam eagle dan enam birdie, catatan enam bogey yang dilakukannya menyaksikan dia kini berkongsi kedudukan di tempat kedua bersama-sama Conrad Schindler, Adam Crawford dan Todd Sinnott dengan keseluruhan empat di bawah par.

“Saya dapat rasakan mempunyai peluang menjarakkan diri daripada pemain lain tapi perancangan tidak begitu menjadi,” kata McIlroy.

“Ada beberapa kesilapan mudah saya lakukan. Saya juga tersilap memilih iron yang patut digunakan. Kesilapan di sekitar green juga menyaksikan saya sekadar mencatat enam bogey.

“Bagaimanapun, saya gembira dengan cara hari kedua ini berakhir. Saya berada di kedudukan baik untuk menghadapi hari ketiga dan keempat.”

Pendahulu hari pertama, Jordan Spieth pula gagal mempertahankan kelebihan apabila mencatat bogey di dua lubang pertamanya dan menamatkan saingan dengan 72 pukulan sekali gus terpaksa berpuas hati dengan kedudukan di tangga keenam bersama tiga pemain lain.

“Saya bergelut untuk mencatat keputusan lebih baik,” katanya. “Pukulan saya tidak menjadi. Jika tidak disebabkan pukulan putt yang banyak membantu, ada kemungkinan saya mencatat 45 pukulan di sembilan lubang kedua.”

Scott dan enam yang lain berkongsi kedudukan di tangga kesembilan dengan dua di bawah par.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 November 2014 @ 5:01 AM