CHARLIE (kiri) sentiasa mencuri perhatian ketika bergandingan bersama bapanya, Woods di Kejohanan PNC. FOTO AFP
CHARLIE (kiri) sentiasa mencuri perhatian ketika bergandingan bersama bapanya, Woods di Kejohanan PNC. FOTO AFP
AFP

Miami: Charlie Woods berjaya mencuri perhatian bersama bapanya, Tiger yang juga juara kejuaraan utama 15 kali di Kejohanan PNC namun Justin Thomas dan bapanya, Mike, berjaya merangkul trofi dalam saingan yang membabitkan ahli keluarga itu.

Bagaimanapun, memenangi trofi atau tidak, Woods berkata, bergandingan bersama anaknya berusia 11 tahun adalah peristiwa yang tidak dapat dilupakannya.

"Ia tidak boleh digambarkan dengan kata-kata. Apa yang penting kami mampu untuk merasai pengalaman bersama-sama, ini adalah memori yang akan dikenang sampai bila-bila," kata Woods.

Pasukan Woods, dengan kedua-duanya memakai baju merah dan seluar hitam seperti selalu yang dipakai Woods, menamatkan saingan di tempat ketujuh daripada 20 pasukan membabitkan juara kejuaraan utama bersama ahli keluarga masing-masing di Ritz-Carlton Golf Club di Orlando, Florida.

Charlie, adalah pemain paling muda dalam kejohanan berkenaan, berjaya mempamerkan hayunan meyakinkan seperti bapanya.

Bukan hanya dari segi hayunan, malah dia juga berjaya membenam birdie melalui putt pada lubang ke-10, ketika mereka melakukan 10 di bawah par 62 awal pagi tadi.

"Dia tidak akan menghargainya pada usia sekarang. Saya tidak menghargainya ketika bersama bapa saya. Selepas bertahun-tahun, saya mula menghargainya," kata Woods.

Justin Thomas, yang meraih 12 kejuaraan Jelajah PGA termasuk PGA Championship, berkata, meraih kejuaraan bersama bapanya bukanlah salah satu kejayaan paling penting tapi ia adalah 100 peratus sangat menyeronokkan.

Team Thomas berjaya mendahului dengan melakukan lapan birdie pada sembilan lubang pertama.

Mike Thomas membenam birdie melalui put di lubang ke-18 untuk mencatat 15 di bawah 57 untuk mengesahkan kejuaraan satu pukulan mengatasi Vijay Singh dan anaknya, Qass.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Disember 2020 @ 12:39 PM