HARRIF kali terakhir menyertai pertandingan adalah Kejohanan Kebangsaan di Melaka pada September lalu. FOTO NSTP
HARRIF kali terakhir menyertai pertandingan adalah Kejohanan Kebangsaan di Melaka pada September lalu. FOTO NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Selepas melakar kejutan menerusi dua kemenangan podium pada Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020, pakar pecut Terengganu Inc TSG Cycling Team (TSG), Mohd Harrif Saleh mengintai peluang memburu lebih banyak kejayaan dalam beberapa kejohanan berbasikal tahun depan.

Pelumba veteran berusia 32 tahun itu berkata walaupun perlumbaan berbasikal terulung Asia tersebut dibatalkan pada tahun hadapan akibat pandemik Covid-19, ia tidak menjejaskan semangatnya untuk terus mencipta kejayaan bersama pasukan benua berkenaan.

"Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan prestasi saya pada musim ini kerana LTdL adalah antara kejohanan terbesar di Asia sepanjang bergelar pelumba berbasikal profesional," katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

"Kali terakhir saya menyertai pertandingan adalah Kejohanan Kebangsaan di Melaka pada September lalu, dan tiada kejohanan disertai selepas itu disebabkan Covid-19. Namun saya akui memang rindu hendak kembali berlumba dan berjumpa dengan rakan sepasukan yang lain," kata Harrif yang mesra disapa 'Mamat' dalam kalangan rakan sepasukannya.

Harrif memenangi peringkat kelima LTdL 2020 sejauh 165.8km dari Kuala Kubu Bharu, Selangor ke Ipoh, Perak, selain turut mengungguli peringkat ketujuh sejauh 130.4km dari Bagan, Pulau Pinang ke Alor Setar, Kedah.

Pada masa sama, Harrif menjelaskan tumpuannya lebih kepada meraih kemenangan peringkat dalam setiap perlumbaan disertainya, dan menyifatkan kemenangan jersi dimenangi dalam sesebuah perlumbaan adalah satu bonus bagi dirinya.

Pengurusan TSG dilapor merancang untuk mengadakan kem latihan pusat di Turki pada pertengahan Januari 2021, dan bakal menyertai lima kejohanan termasuk satu kejohanan berstatus 2.1 (perlumbaan peringkat) iaitu Jelajah Antalya dari 11-14 Februari 2021.

Empat kejohanan lain adalah Grand Prix (GP) Alanya pada 6 Feb, GP Gazipasa (7 Feb), GP Velo Manavgat (20 Feb) serta GP Velo Alanya (21 Feb) dan kesemua perlumbaan berkenaan berstatus 1.2 (perlumbaan sehari).

Pasukan benua tempatan itu turut mendapat jemputan menyertai Jelajah Rwanda yang berstatus 2.1 dari 21 hingga 28 Februari 2021.

TSG muncul pasukan kedua terbaik Jelajah Asia pada musim ini selepas mengumpul 864 mata, manakala satu lagi pasukan benua Malaysia iaitu Team Sapura Cycling (TSC) muncul juara menerusi kutipan 1,113 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 November 2020 @ 7:08 PM