HARRIF bangga menunjukkan medal dan trofi yang dimenangi di GP Manavgat semalam. FOTO Ihsan TSG
HARRIF bangga menunjukkan medal dan trofi yang dimenangi di GP Manavgat semalam. FOTO Ihsan TSG
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Kejayaan pelumba sensasi Terengganu Cycling Team (TSG), Mohd Harrif Saleh menggegarkan Grand Prix (GP) Velo Manavgat berstatus 1.2 di bumi Turki semalam adalah permulaan baik buat pasukan bertaraf benua Asia itu.

Demikian reaksi Ketua Pegawai Eksekutif TSG, Che Ku Izmuddin Che Ku Mahmood yang menjelaskan kejayaan merangkul tempat pertama begitu berharga buat negara dan negeri selain kem pasukan kerana kejohanan itu bertaraf dunia.

"Tahniah buat Harrif yang berjaya merangkul gelaran juara biarpun hampir setahun tidak menyertai perlumbaan bertaraf antarabangsa.

"Kejayaan anak jati Terengganu itu begitu membanggakan seluruh rakyat Malaysia termasuk pasukan lebih-lebih lagi ia berlangsung di Eropah selain membuktikan kayuhannya belum 'berkarat'.

"Malah kejayaan itu bakal menambah lagi pungutan mata buat pasukan dan seterusnya dapat memperbaiki kedudukan dalam ranking Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

"Kita akan memburu lebih banyak lagi podium kerana masih berbaki tiga perlumbaan lagi di Turki selain pasukan juga sasarkan untuk mencipta kejayaan dalam kejohanan musim ini, terima kasih kepada pihak kerajaan Malaysia, kerajaan negeri, Kementerian Belia dan Sukan, Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) dan pihak berkaitan kerana membenarkan pasukan TSG menyertai kejohanan di Turki," katanya.

Selain GP Velo Alanya yang berlangsung pada hari ini, TSG masih berbaki dua lagi perlumbaan iaitu GP Mediterranean pada 6 Mac depan dan GP Gundogmus pada 7 Mac sebelum berangkat pulang sehari kemudian.

Sementara itu, Harrif ketika dihubungi melalui aplikasi WhatsApp akui begitu puas selepas penampilan pertamanya di Turki membuahkan hasil yang membanggakan buat dirinya dan pasukan.

"Ini sejarah di bumi Eropah, lebih membanggakan selepas hampir setahun tidak beraksi saya bangkit untuk merakam kemenangan yang membanggakan ini.

"Kejayaan ini membakar lagi semangat saya, harap rakan sepasukan juga mampu melakar kejayaan kerana masih berbaki tiga lagi perlumbaan," kata pelumba yang lebih dikenali sebagai Mamat itu.

Selain Harrif, TSG menampilkan lapan lagi pelumba di Turki termasuk bekas pelumba Sapura Cycling Team (TSC), Muhammad Nur Aiman Mohd Zariff, Wan Abdul Rahman Hamdan, Irwandie Lakasek, Metkel Eyob, Youcef Reguigui, Goh Choon Huat, Artem Ovechkin dan Carlos Quintero.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Februari 2021 @ 8:54 PM