AIMAN menamatkan zaman bujang dengan gadis kelahiran Perak, Fatin Aqilah Kamarul Anuar. FOTO Ihsan Nur Aiman.
AIMAN menamatkan zaman bujang dengan gadis kelahiran Perak, Fatin Aqilah Kamarul Anuar. FOTO Ihsan Nur Aiman.
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Demi negara dan pasukan yang diwakilinya, Terengganu Cycling Team (TSG), Muhammad Nur Aiman Zariff terpaksa berjauhan dengan isterinya, Fatin Aqilah Kamarul Anuar walaupun baharu sebelas hari bergelar Raja Sehari.

Raja Bukit Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020 berusia 24 tahun itu juga terpaksa menangguhkan untuk berbulan madu kerana bakal berangkat ke Turki pada Selasa ini bagi menyertai latihan dan enam siri perlumbaan di negara berkenaan selama sebulan bersama rakan sepasukannya.

Bagaimanapun, bekas pelumba Team Sapura Cycling (TSC) kelahiran Setiu akui walaupun terpaksa 'berpisah' seketika dengan penyeri rumah tangganya itu, motivasinya sama sekali tidak akan terjejas.

Malah anak sulung daripada lima beradik itu tetap melaungkan keyakinan untuk memburu podium dan kedudukan terbaik dalam kejohanan itu biarpun tanpa insan tersayang di sisinya.

"Biarpun baharu berkahwin lebih seminggu lalu dan akan berjauhan tidak lama lagi kerana tugasan bersama pasukan selain mengharumkan nama negara, semangat Aiman untuk memburu podium tetap membara lebih-lebih lagi kejohanan pertama selepas kembali menyarung jersi pasukan TSG.

"Selain isteri yang sentiasa memberikan semangat, kedua ibu bapa, rakan sepasukan dan pihak pengurusan TSG serta kerajaan negeri dan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) turut memberi dorongan untuk berkayuh di Turki nanti.

"Harapan besar saya bersama rakan sepasukan tidak mahu pulang dengan tangan kosong kerana misi utama pasukan adalah untuk memburu mata dalam ranking Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) bagi mengintai kedudukan lebih baik.

"Kami juga mohon doakan agar kami semua terhindar daripada wabak pandemik Covid-19 yang masih melanda dunia, namun dalam masa sama kami tetap akan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang disarankan kerajaan Malaysia dan juga kerajaan Turki," kata Aiman kepada Sukan NSTP.

TSG yang akan 'berkampung' selama sebulan di Turki bakal menyertai enam kejohanan berstatus 1.2 bermula Grand Prix (GP) Alanya pada 6 Februari, diikuti GP Gazipasa, GP Velo Manavgat, GP Velo Alanya, GP Mediterranean dan terakhir GP Gundogmus.

Pada 21 Januari lalu, pelumba yang juga mendapat perhatian daripada pasukan Pro Benua, Androni Giacattoli-Sidermec (ANS), Itali melangsungkan perkahwinan dengan gadis pilihannya seorang jururawat dari Hospital Pulau Pinang berasal dari Kuala Kurau, Perak.

Selain Aiman, musim ini TSG mempertaruhkan lapan pelumba tempatan yang diketuai Zamri Salleh, adiknya Harrif, Afiq Huznie Othman, Nur Amirull Fakhruddin Mazuki, Wan Abdul Rahman Hamdan, Irwandie Lakasek dan Mohd Shahrul Mat Amin.

Skuad itu turut diperkuatkan enam pelumba import iaitu Goh Choon Huat (Singapura), Metkel Eyob ( Eritrea), Carlos Quintero (Colombia), Artem Ovechkin ( Rusia), Youcef Reguigui (Algeria) dan Robin Jurado Lopez dari Panama.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 January 2021 @ 7:18 PM