HARRIF (tengah) lebih bersedia mengharungi cabaran di Vietnam dan LTdL. FOTO Ihsan Terengganu Polygon Cycling Team
HARRIF (tengah) lebih bersedia mengharungi cabaran di Vietnam dan LTdL. FOTO Ihsan Terengganu Polygon Cycling Team
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pelumba berbasikal sensasi negara, Mohd Harrif Saleh berada pada tahap prestasi terbaik untuk menghadiahkan pingat buat negara dalam temasya Sukan SEA di Hanoi, Vietnam pada Mei depan.

Pelumba Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) berusia 33 tahun itu juga turut mengidam jersi dalam saingan Le Tour de Langkawi (LTdL) yang bakal membuka tirainya pada Jun depan.

Pakar pecut negara itu berkata, tiga kejohanan yang disertai sejak Februari lalu termasuk yang terkini 'Tour Gateh D'Tranung' banyak membantunya meningkat lagi kayuhan sebelum pentas Sukan SEA dan LTdL bermula.

"Selepas menyertai Jelajah Saudi pada 1 Februari, saya berjaya menduduki tempat kedua Grand Prix (GP) Justiniano di Turki sebelum menyertai Jelajah Terengganu baru-baru ini.

"Berdasarkan prestasi terkini, saya lebih bersedia mengharungi cabaran di Vietnam dan LTdL nanti lebih-lebih lagi Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) meminta saya dan dua lagi pelumba TSG, Amirull Fakhruddin Mazuki dan Nur Aiman Mohd Zariff bersedia menyertai acara kriterium jika dipanggil dalam pentas Sukan SEA," katanya ketika dihubungi.

Dalam perkembangan lain, Harrif yang kini berada di Thailand bagi menyertai jelajah negara itu yang berstatus 2.1 Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) mengidam untuk memburu podium dan jersi dalam kejohanan selama enam hari itu yang bakal bermula esok.

"Laluan enam peringkat perlumbaan di negara jiran ini saya lihat begitu sesuai untuk pakar pecut dan tidak mustahil sasaran saya sekurang-kurangnya satu podium dapat dicapai walaupun bakal bertembung dengan pelumba handalan negara lain.

"Saya harap impian saya itu tercapai kerana ianya mampu menambah lagi tonik dan motivasi saya menjelang Sukan SEA dan LTdL nanti," kata adik kepada seorang lagi pelumba TSG, Zamri.

Selain TSG, beberapa pasukan boleh dianggap pencabar utama termasuk kelab Bike Aid Cycling (Jerman), UKYO Cycling Team (Jepun), Mazowswe Serce Team (Poland) dan satu lagi wakil negara, Team Sapura Cycling (TSC).

Selain Harrif, turut membawa cabaran TSG di bumi Thailand ialah Amirull Fakhruddin, Irwandie Lakasek, Shahrul Mat Amin, Nur Aiman dan pelumba import dari Eritrea, Metkel Eyob.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Mac 2022 @ 7:07 PM