AIMAN (depan) mahu menyerlah di GP Mediterranean pada hari ini dan terakhir GP Gundogmus pada esok. FOTO Ihsan TSG
AIMAN (depan) mahu menyerlah di GP Mediterranean pada hari ini dan terakhir GP Gundogmus pada esok. FOTO Ihsan TSG
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Kejayaan dua rakan sepasukannya, Harrif Salleh dan Carlos Quintero menakluk Grand Prix (GP) Velo Manavgat dan GP Velo Alanya di bumi Turki membakar semangat pelumba muda Terengganu Cycling Team (TSG), Muhammad Nur Aiman Mohd Zariff melakar sejarah dalam baki dua kejohanan lagi.

Bagaimanapun, pelumba kelahiran Setiu berusia 24 tahun itu akui bukan tugas mudah buatnya untuk menaiki podium kerana ramai pencabar terkuat beraksi dalam kejohanan itu.

"Selain itu laluan yang berbukit dan keadaan cuaca yang sejuk turut menyukarkan buat pelumba untuk memburu podium lebih-lebih lagi kali pertama menyertai perlumbaan di Turki.

"Namun kejayaan rakan sepasukan, Harrif dan Quintero mencipta sejarah di Turki selepas masing-masing meraih tempat pertama turut menyuntik semangat saya menaiki podium tiga pelumba terbaik.

"Peluang saya hanya di GP Mediterranean pada hari ini dan terakhir GP Gundogmus pada esok, jadi saya tekad untuk melakukan kayuhan lebih bertenaga sebelum berangkat pulang ke Malaysia," katanya ketika dihubungi Sukan NSTP.

Dalam empat perlumbaan terdahulu, pemenang Jersi Merah (Raja Bukit) dalam saingan Le Tour de Langkawi (LTdL) musim lalu ketika menyarung jersi Sapura Cycling Team (TSC) gagal meraih sebarang podium.

"Selain mahu melakar sejarah dan memperbaiki lagi kayuhan, podium juga penting buat pasukan untuk meraih seberapa banyak mata bagi memperbaiki ranking dalam Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI)," katanya.

Selain Harrif dan Quintero, seorang lagi pelumba pasukan bertaraf benua Asia itu, Metkel Eyob turut mencipta nama selepas meraih tempat ketiga dalam saingan GP Velo Alanya.

TSG yang menghuni di ranking kedua UCI tahun lalu, turut menyandarkan harapan kepada lima lagi pelumba untuk memburu mata iaitu Irwandie Lakasek, Wan Abdul Rahman Hamdan, Youcef Reguigui, Goh Choon Huat dan Artem Ovechkin.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Mac 2021 @ 3:22 PM