SAINBAYAR ceria selepas menamatkan saingan GP Velo Alanya di tangga keempat. FOTO Instagram terengganupolygoncyclingteam
SAINBAYAR ceria selepas menamatkan saingan GP Velo Alanya di tangga keempat. FOTO Instagram terengganupolygoncyclingteam
Hamdan Saaid


Kuala Lumpur: Pelumba Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Jambaljamts Sainbayar terlepas peluang untuk menjejak podium pada perlumbaan Grand Prix Velo Alanya di Turki, semalam.

Pelumba berusia 25 tahun dari Mongolia itu berakhir di tangga keempat perlumbaan sehari kategori 1.2 Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) dengan jarak 129.8 kilometer di Guzelbag.

Perlumbaan itu dimenangi pelumba Almaty Cycling Team, Igor Chzhan dari Kazakhstan dengan masa tiga jam 44 minit 11 saat manakala Sainbayar ketinggalan 34 saat di belakang.

Pelumba Belanda, Meindert Weulink dari pasukan ABLOC CT dan pelumba pasukan kebangsaan Jerman, Moritz Kretschy masing-masing di tangga kedua dan ketiga dengan perbezaan 32 saat di belakang pemenang.

Lima lagi pelumba TSG Mohd Zamri Saleh di tangga ke-104, Goh Choon Huat (127), Irwandie Lakasek (128), Wan Abdul Rahman Hamdan (129) dan Nur Amirul Fakhruddin Mazuki (130).

"Percubaan yang hebat daripada pelumba kami hari ini di GP Velo Alanya. Jambaljamts @_elo_cr hampir mengakhiri saingan di podium menerusi penamat tangga keempat.

"Dia baru memulihkan diri daripada kesan Tour of Antalya dan prestasinya bagus tetapi tidak cukup untuk berada di podium," menurut catatan TSG dalam akaun Instagram rasmi mereka @terengganupolygoncyclingteam.

Sainbayar meneruskan prestasi baiknya sejak memenangi jersi kuning pada Tour of Thailand Disember lalu, diikuti tangga keenam keseluruhan Tour of Sharjah di UAE bulan lalu dan ke-11 Tour of Antalya di Turki. Dia turut membantu TSG muncul juara berpasukan pada kedua-dua jelajah itu.

Tahun lalu, pelumba TSG menguasai dua daripada posisi podium dengan Carlos Quintero dari Colombia muncul juara manakala Metkel Eyob dari Eritrea di tangga ketiga. Quintero yang berusia 35 tahun sudah bersara sejak 30 September lalu.

Sainbayar, Nur Amirul, Irwandie, Zamri, Wan Abdul Rahman dan Mohd Harrif Saleh akan bersaing sekali lagi pada perlumbaan sehari Grand Prix Justiniano sejauh 156.3km dari Okurcalar ke Alanya hari ini.

Satu lagi pasukan membabitkan empat pelumba Eyob, Anatolii Budiak dari Ukraine, Mohd Shahrul Mat Amin dan Muhammad Nur Aiman Mohd Zariff memulakan perjuangan pada jelajah tujuh peringkat kategori 2.1 Tour du Rwanda di Afrika.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Februari 2022 @ 12:46 PM