PASUKAN TSG musim ini. FOTO ihsan TSG
PASUKAN TSG musim ini. FOTO ihsan TSG
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pasukan benua tempatan, Terengganu Inc Terengganu Cycling Team (TSG) dijangka memuktamadkan senarai akhir pelumba yang akan mewakili pasukan berkenaan pada musim hadapan dalam tempoh terdekat.

Ketua Pegawai Eksekutif TSG, Che Ku Mohd Izmuddin Che Ku Mahmood berkata, majlis pengenalan pelumba pasukan akan diadakan di Kuala Terengganu pada awal Januari 2021 sebelum mereka berlepas ke Turki bagi menyertai beberapa kejohanan di negara berkenaan.

TSG diwakili 16 pelumba termasuk lapan pelumba asing musim ini.

"Senarai pelumba pada musim 2021 masih belum diputuskan kerana perbincangan sedang dijalankan sebelum senarai akhir akan diketahui pada majlis pengenalan pasukan di Kuala Terengganu pada awal Januari tahun hadapan.

"Beberapa pelumba asing kita masih berada di negara masing-masing dan mereka dijangka kembali ke Kuala Terengganu dalam tempoh terdekat, dan kos rawatan mereka bagi menjalani saringan Covid-19 akan ditanggung sepenuhnya oleh pasukan," katanya,

Che Ku Mohd Izmuddin turut memaklumkan beberapa pelumba pasukan profesional luar negara berminat untuk menyarung jersi pasukan itu, namun pengurusan pasukan perlu menilai latar belakang pelumba tersebut selain melihat kekangan kewangan berikutan penarikan diri beberapa penaja akibat Covid-19.

Beliau mengesahkan TSG bakal menyertai lima kejohanan di Turki pada Feb 2021, termasuk satu kejohanan berstatus 2.1 (perlumbaan peringkat) iaitu Jelajah Antalya dari 11 hingga 14 Feb.

Empat kejohanan lain adalah Grand Prix (GP) Alanya pada 6 Feb, GP Gazipasa (7 Feb), GP Velo Manavgat (20 Feb) serta GP Velo Alanya (21 Feb), dan kesemua perlumbaan berkenaan berstatus 1.2 (perlumbaan sehari).

Pasukan benua tempatan itu turut mendapat jemputan menyertai Jelajah Rwanda yang berstatus 2.1 dari 21 hingga 28 Feb 2021.

TSG muncul pasukan kedua terbaik Jelajah Asia musim ini, setelah mengumpul 864 mata, manakala satu lagi pasukan benua Malaysia, Team Sapura Cycling (TSC) adalah juara menerusi kutipan 1,113 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Disember 2020 @ 2:52 PM