PEMAIN negara, Zulhanif Sahran (tengah) dikepung dua pemain Australia pada aksi Piala Sultan Johor di Stadium Hoki Taman Daya, sebentar tadi. FOTO ihsan Media Persatuan Hoki Johor
PEMAIN negara, Zulhanif Sahran (tengah) dikepung dua pemain Australia pada aksi Piala Sultan Johor di Stadium Hoki Taman Daya, sebentar tadi. FOTO ihsan Media Persatuan Hoki Johor
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Skuad remaja negara rebah buat kali kedua dan kali ini dibelasah Australia 0-8 pada Kejohanan Bawah 21 tahun (B21) Piala Sultan Johor (SOJC) edisi ke-10 di Stadium Hoki Taman Daya, di sini, sebentar tadi.

Kekalahan itu menyaksikan skuad kendalian Muhammad Amin Rahim kekal di tangga tercorot tanpa sebarang mata manakala Australia merampas kedudukan teratas dari Britain selepas mengumpul enam mata.

Di awal permainan, gawang skuad remaja negara terselamat selepas Australia yang meraih pukulan sudut penalti pada minit kelapan gagal disudahkan Cooper Burns.

Peluang terbaik pemain negara membuka tirai jaringan pada minit ke-13 terlepas begitu sahaja selepas gagal memanfaatkan pukulan sudut penalti.

Aksi suku pertama tampak seimbang walaupun skuad kendalian Jay Stacy mendominasi permainan dengan beberapa gerakan berbahaya yang mengundang cemas di gawang skuad remaja negara.

Namun gawang skuad remaja negara bolos di suku kedua babak pertama pada minit ke-19 menerusi gol padang Liam Hart yang menewaskan Rafaizul Saini.

Rafuizul tewas lagi pada minit ke-36 selepas bola pukulan sudut penalti Brodee Foster berjaya dihalang, namun tindakan susulan Jake Lambeth meletak Australia selesa mendahului 2-0.

Australia menambah gol ketiga pada minit ke-44 selepas Coopers Burns menjaringkan gol menerusi pukulan sudut penalti.

Benteng pertahanan skuad remaja negara begitu rapuh dan mudah buat Australia menghasil gol keempat menerusi gol padang Hart mencetak gol kedua peribadi.

Ketika aksi memasuki minit ke-49, Jack Holland yang tidak dikawal mudah melakukan pukulan kilas yang menyaksikan bola masuk di celah kaki Rafuizul untuk meletak Australia selesa dengan kedudukan 5-0.

Gol keenam dan ketujuh anak didik Stacy hadir pada minit ke- 55 dan minit ke59 menyaksikan Burns melengkap jaringan hatrik apabila mudah menyempurnakan dua pukulan sudut penalti.

Manakala gol kelapan Australia hadir seminit sebelum perlawanan berakhir menerusi gol padang Brodee Foster.

Sementara itu, Jepun melakar kejutan ke atas juara bertahan, Britain selepas menang 2-1 menerusi gol padang Hiro Saito pada minit ke-17 manakala gol kedua skuad kendalian Hiroki Watanabe dihasilkan Tsubasa Tanaka pada minit ke-27 menerusi gol padang.

Anak didik Jon Bleby berjaya merapatkan jurang gol pada minit ke-29 menerusi gol padang Maz Anderson.

Manakala naib juara, India dikejutkan dengan persembahan 'luar biasa' pendatang baharu, Afrika Selatan apabila tewas tipis 4-5.

Keputusan

Jepun 2 1 Britain

India 4 5 Afrika Selatan

Australia 8 0 Malaysia

Jadual 25 Oktober 2022

Britain mln Australia

(4.05 ptg)

Jepun mln Britain

(4.05 ptg)

Jepun mln India

(6.05 ptg)

Afrika Selatan mln Malaysia

(8.35 mlm)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Oktober 2022 @ 10:27 PM