PEMAIN remaja negara, Azmilmuizzudin Misron (kanan) menghalang Visknukant Singh pada perlawanan malam ini, FOTO ihsan Media Persatuan Hoki Johor.
PEMAIN remaja negara, Azmilmuizzudin Misron (kanan) menghalang Visknukant Singh pada perlawanan malam ini, FOTO ihsan Media Persatuan Hoki Johor.
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Skuad remaja negara tewas 2-5 kepada India pada Kejohanan hoki Bawah 21 tahun Piala Sultan Johor (SOJC) edisi ke-10 di Stadium Hoki Taman Daya, malam ini.

Walaupun cuba bersaing, skuad bimbingan Muhammad Amin Rahim kurang pengalaman yang memisahkan kualiti permainan antara kedua-dua pasukan dan India jelas mendonimasi perlawanan.

India yang berstatus naib juara edisi kesembilan mencipta gol padang pada minit keenam berpunca daripada pukulan kilas kapten Utam Singh yang disambar Vishmukant Singh menewaskan penjaga gol, Amir Muhaimin Ahmad Mustaqiem.

India menambah gol kedua pada minit ke-10 suku pertama apabila Hundal Araijeet Singh menolak masuk hasil pukulan sudut penalti.

Anak Muhammad Amin merapatkan jurang gol pada minit ke-13 menerusi Shahmie Irfan Suhaimi yang menewaskan penjaga gol lawan, Ankit Malik.

Bersambung suku kedua babak pertama, skuad kendalian CR Kumar terus menggandakan asakan ke kubu skuad remaja negara dan menambah jaringan pada minit ke- 20 menerusi gol padang Dhamy Boby Singh.

Benteng skuad remaja negara yang begitu lemah mudah buat India menambah jaringan pada minit ke-26 menerusi gol padang Sudeep Chirmako yang melakukan pukulan kilas.

Skuad remaja kembali merapatkan jurang gol pada minit ke-52 selepas Amirul Haniff Mamat menyudahkan pukulan sudut penalti bagi meletakkan kedudukan 2-4.

Bagaimanapun, India menjaringkan gol menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan Shanda Nand pada minit ke-56 bagi memastikan kemenangan 5-2.

Sementara itu, pada perlawanan awal, Australia menang tipis 3-2 ke atas Jepun manakala juara bertahan, Britain tidak berdepan masalah membelasah pendatang baharu, Afrika Selatan 4-1.

Keputusan

Australia 3 2 Jepun

Britain 4 1 Afrika Selatan

India 5 2 Malaysia

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Oktober 2022 @ 10:28 PM