AKSI pemain negara Danish Afnan (kanan) mengasak pemain Afrika Selatan, Jamie Seale. FOTO  Media SOJC
AKSI pemain negara Danish Afnan (kanan) mengasak pemain Afrika Selatan, Jamie Seale. FOTO Media SOJC
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Badi kekalahan menghantui skuad remaja negara akhirnya terlerai selepas menewaskan Afrika Selatan 3-2 sekali gus menamatkan saingan di tempat ketujuh dalam aksi Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor (SOJC) Edisi ke-11 di Stadium Hoki Taman Daya, petang tadi.

Pengendali skuad bergelar Young Tigers, Muhamad Amin Rahim menegaskan banyak lagi penambahbaikan bakal dilakukan sebelum saingan Piala Dunia Remaja di Kuala Lumpur, Disember ini terutama memperkemaskan lagi pukulan sudut.

"Banyak kita raih pukulan sudut penalti tapi untuk melakukan penyudah masih belum berada di tahap memuaskan dan kita ada pakar dari luar iaitu Christopher Ciriello yang pernah datang membantu bagi mempertajamkan lagi pukulan sudut penalti.

"Kemenangan ke atas Afrika Selatan beri lebih keyakinan buat pemain untuk menghadapi Piala Dunia Remaja dan kita tidak ada masa lagi malah saingan SOJC merupakan fasa terakhir sebelum beraksi di pentas berkenaan dan akan adakan `post-mortem' bagi tingkatkan lagi kualti permainan," katanya.

Pada awal permainan babak pertama, penjaga gol Young Tigers, Rafaizul Mohamad Sani menjadi penyelamat selepas bertindak pantas menampan bola pukulan deras David Tshebi minit kelima perlawanan.

Serangan berterusan skuad kendalian Guy Elliott pada minit ke- 10 membawa padah buat anak didik Amin selepas tindakan berani Ross Breytenbach menyusup masuk ke dalam kawsaan D sebelun menolak kepada Viwe Mbata untuk mencipta gol padang.

Bagaimanapun, skuad muda bangkit menyamakan jaringan minit ke-12 selepas bola pukulan deras Wan Mohamad Najmie Ahmad Dzaib di sebelah sayap kanan membolehkan Che Nut Aqirullah Anwar menampan bola menewaskan penjaga gol, Devan van Niekerk.

Bersambung babak kedua pada suku ketiga, Young Tigers berjaya mendahului pasukan lawan minit ke-39 selepas Harris Iskandad Osman menjaringkan gol padang.

Namun sekali lagi kerapuhan benteng memudahkan Afrika Selatan menyamakan kedudukan minit ke-49 suku keempat perlawanan menerusi jaringan padang Cameron le Forestier.

Sedar betapa kemenangan mampu memulihkan semangat Young Tigers, barisan pemain muda negara menggandakan asakan dan ketika aksi berbaki empat minit untuk ditamatkan Mughi Mohamad Kamal menjaringkan gol padang dan kedudukan 3-2 kekal sehingga tamat perlawanan.

"Secara keseluruhan sepanjang saingan SOJC, kita nampak keinginan pemain menjaringkan gol dan selain itu kita juga perlu pertingkatkan lagi disiplin bertahan kerana kerap beri pasukan lawan pukulan sudut penalti yang tidak sepatutnya," kata Muhamad Amin.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 November 2023 @ 6:37 PM