PEMAIN Malaysia Andywalfian Jefrynus diasak beberapa pemain Jepun. FOTO Bernama
PEMAIN Malaysia Andywalfian Jefrynus diasak beberapa pemain Jepun. FOTO Bernama
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Selepas dipalit empat kekalahan, akhirnya skuad remaja negara meraih satu mata apabila terikat 2-2 dengan Jepun pada aksi Kejohanan Bawah 21 tahun (B21) Piala Sultan Johor (SOJC) edisi ke-10 di Stadium Hoki Taman Daya, di sini, sebentar tadi.

Keputusan seri itu menyaksikan skuad kendalian Muhamad Amin Rahim yang berada di tangga tercorot liga satu pusingan akan berdepan Afrika Selatan bagi penentuan tempat kelima dan keenam, petang esok.

Apapun Muhamad Amin tetap bangga dengan kesungguhan setiap pemain beraksi bermati-matian pada perlawanan itu ketika hanya 14 pemain tersenarai tatkala dua pemain lagi mengalami kecederaan yang menyukarkan untuk melakukan penggiliran pemain.

"Mentaliti positif dipamerkan mereka cukup membanggakan malah selepas kita gagal meraih sebarang mata dalam empat aksi lalu tapi satu mata sudah memadai dan ia memberi keyakinan buat mereka yang pertama kali didedahkan dalam aksi antarabangsa.

"Kita akan perkemaskan lagi corak bertahan yang sering memberi ruang pasukan lawan menjaringkan gol dan aksi petang esok sudah kami mahu menamatkan saingan SOJC di tempat kelima kerana ia akan beri motivasi buat mereka," kata Muhamad Amin.

Sepanjang aksi suku pertama, skuad remaja negara dan Jepun mengamalkan corak permainan berhati-hati malah tiada pukulan sudut penalti yang diberikan untuk kedua-dua pasukan selain tiada percubaan berbahaya dijelmakan dalam usaha merungkai jaringan awal.

Peluang terbaik skuad remaja negara mencipta jaringan hadir pada minit ke-19 suku kedua babak pertama apabila bola pukulan Shahmie Irfan Suhaimi berjaya ditampan kapten Amirul Haniff Mamat tapi dihalang penjaga gol Jepun, Kisho Kuroda.

Agak mengecewakan apabila skuad remaja negara mensia-siakan peluang mencipta jaringan pada minit ke-28 selepas meraih pukulan sudut penalti apabila gagal melakukan penyudah tepat dan mudah dipatahkan oleh Jepun dan kedudukan 0-0 kekal sehingga tamat babak pertama.

Memasuki suku ketiga babak kedua, skuad kendalian Hiroki Watanabe akhirnya merungkai jaringan pada minit ke-34 berpunca daripada pukulan sudut penalti walaupun berjaya dihalang penjaga gol, Amir Muhaimin Ahmad Mustaqiem namun Masato Kobayashi yang tidak dikawal bertindak menolak ke gawang untuk meletak kedudukan 1-0.

Bagaimanapun, gol itu tidak bertahan apabila skuad remaja negara bangkit menyamakan jaringan pada minit ke-39 selepas Amirul Haniff menolak tepat ke penjuru kiri gawang menerusi pukulan sudut penalti menewaskan Kuroda.

Gol kedua skuad remaja negara hadir pada minit ke-43 selepas Shahmie Irfan tidak mensia-siakan peluang terhidang untuk menolak deras tepat ke gawang gol menerusi pukulan sudut penalti yang menewaskan Kuroda.

Namun kegembiraan itu tidak bertahan lama apabila anak didik Watanabe bangkit menyamakan jaringan pada minit ke- 47 menerusi kapten Ikumi Saeki menerusi pukulan sudut penalti yang menewaskan Amir Muhaimin sekali gus meranap impian skuad remaja negara melakar kemenangan pertama dan kedudukan 2-2 kekal sehingga tamat perlawanan.

Sementara itu, India yang melakar keputusan seri 5-5 dengan juara bertahan, Britain melangkah ke final dan akan berdepan Australia, malam esok.

Skuad kendalian CR Kumar layak selepas berada di tangga kedua liga satu pusingan apabila mengutip lapan mata dengan menyingkirkan Britain, Jepun dan Afrika Selatan dan pastinya akan cuba menebus kehampaan pada edisi kesembilan tatkala muncul naib juara.

Pada perlawanan itu, Britain terlebih dahulu mengejutkan skuad kendalian CR Kumar seawal minit pertama menerusi gol padang Max Anderson tapi Chandura boby Poovarna menyamakan kedudukan pada minit ketujuh menerusi gol padang.

Bagaimanapun, skuad kendalian Jon Bleby kembali mendahului menerusi dua gol padang yang dijaringkan Anderson yang mencetak gol kedua peribadi pada minit ke-40 dan selang dua minit kemudian giliran Harisson Stone turut mencpta nama sebagai penjaring untuk kedudukan 3-1.

Namun anak didik CR Kumar bangkit menyamakan jaringan menerusi dua gol padang oleh Amandeep pada minit ke-50 da Hundal Araijeet Singh selamg tiga minit kemudian untuk mengikat kedudukan 3-3.

Britain sekali lagi mendahulu menerusi dua gol padang yang dijaringkan Jamie Golden pada minit 54 dan minit ke-56 untuk berada dalam kedudukan selesa dengan jaringan 5-3.

Namun hasrat juara bertahan itu melakar kemenangan berkecai selepas Sharda Nand Tiwari muncul penyelamat India apabila menjaringkan dua gol menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-57 dan minit ke-58 untuk mengikat keputusan 5-5.

Australia tidak berdepan masalah untuk menjinakkan Afrika Selatan 6-1 sekali gus mengekalkan rekod tanpa kalah dalam saingan SOJC dan akan bertemu India pada aksi final.

KEPUTUSAN

Britain 5 - 5 India

Malaysia 2- 2 Jepun

Australia 6- 1 Afrika Selatan

PERLAWANAN PENENTUAN KLASIFIKASI

29 Oktober 2022

Tempat 5/6

Malaysia mln Afrika Selatan (3.35 ptg)

Tempat 3/4

Britain mln Jepun (6.05 ptg)

Final

Australia mln India (8.35 mlm)

Semua perlawanan di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Oktober 2022 @ 10:17 PM