DUA pemain negara mengekang kemaraan pemain Pakistan. FOTO Hockey India
DUA pemain negara mengekang kemaraan pemain Pakistan. FOTO Hockey India
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Skuad hoki negara melaungkan amaran awal bahawa mereka adalah pencabar utama kempen Trofi Juara-Juara Asia (ACT) selepas membenam Pakistan 3-1 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Hoki Mayor Radhakrishnan, Chennai, India, sebentar tadi.

Jelas sekali kelincahan Faizal Saari sukar disekat apabila tiga gerakan berbahaya berjaya memerangkap pertahanan lawan sekali gus membantu pasukan negara menyumbat gol kemenangan menentang Pakistan.

Pada awal babak perlawanan menyaksikan kedua-dua pasukan kurang melakukan serangan berbahaya sekali gus menyaksikan tiada sebarang gol berjaya dicipta.

Memasuki babak kedua,skuad kendalian A Arul Selvaraj menyusun strategi lebih sistematik sebelum Faizal berjaya menggelecek pertahanan lawan sebelum menghantar bola ke Firhan Ashari untuk membuka jaringan pertama perlawanan.

Firhan sekali lagi menjadi duri dalam daging buat Pakistan apabila dia mudah menyumbat gol kedua untuk Malaysia hasil umpanan Faizal untuk kedudukan 2-0.

Speedy Tigers bagaikan dahagakan gol apabila penyerang negara Shello Silverius terus menambah derita Pakistan untuk menjadikan kedudukan 3-0.

Namun, kealpaan benteng negara dihukum dengan gol daripada Pakistan yang disumbangkan Abdul Rehman pada babak akhir perlawanan sekali gus pertemuan terbabit berakhir dengan kedudukan 3-1.

Barisan pemain negara hanya mempunyai tempoh berehat 24 jam saja apabila turun menentang China pada malam esok.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Ogos 2023 @ 11:22 PM