Firhan ucap terima kasih.
Firhan ucap terima kasih.
Ferzalfie Fauzi


KONFEDERASI Hoki Malaysia (KHM) meluahkan rasa sedih dan mengucapkan takziah kepada pemain hoki negara, Firhan Ashari di atas kehilangan anak tersayang, Nur Ayra Delisha berusia dua tahun yang meninggal dunia semalam.

Firhan yang bakal beraksi bersama Terengganu menjelang saingan Piala Razak bermula 18 September ini, mengucapkan terima kasih kepada semua yang menyampaikan ucapan takziah kepadanya.

"Salam semua, terima kasih semua yang ucapkan takziah," kata Firhan di akaun media sosialnya.

Sementara itu, Timbalan Presiden KHM, Datuk Dr S Shamala berkata, anak Firhan diserang sawan petang semalam namun tidak berjaya diselamatkan selepas di bawa ke hospital.

"Kita bersimpati di atas apa yang berlaku terhadap Firhan dan isterinya, sebelum ini anaknya pernah diserang sawan pada usia enam bulan. Tapi ini sudah takdir dan ketentuan.

"Kehadiran KHM saya dan presiden ke rumahnya pagi tadi, adalah untuk memberi sokongan kepadanya. Kita tahu ia bukan sesuatu yang mudah untuk diterima selepas kehilangan ahli keluarga," kata Shamala.

Aksi Firhan bersama skuad kebangsaan. FOTO File NSTP
Aksi Firhan bersama skuad kebangsaan. FOTO File NSTP

Firhan yang sebelum ini menjalani latihan bersama skuad kebangsaan di bawah bimbingan Arul Selvaraj namun semua pemain diberi pelepasan untuk mewakili negeri masing-masing bagi saingan Piala Razak.

"Ini satu berita yang sangat sedih buat Firhan yang kita kenali seorang pemain berdedikasi. Lebih memeritkan dia kehilangan anak pertamanya. Ini masanya KHM menunjukkan sokongan kepadanya," kata Shamala.

Anak Firhan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang selepas Asar semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 September 2020 @ 9:32 PM