FIRHAN (kiri) dan Tengku Ahmad Tajuddin bersama jersi pasukan baru selepas berpindah dari pasukan Terengganu Hockey Team (THT).
FIRHAN (kiri) dan Tengku Ahmad Tajuddin bersama jersi pasukan baru selepas berpindah dari pasukan Terengganu Hockey Team (THT).
HM Digital

Kuala Lumpur: Dua bintang hoki negara, Firhan Ashaari dan Tengku Ahmad Tajuddin Abdul Jalil menamatkan spekulasi apabila mengesahkan menyertai Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam saingan Liga Hoki Malaysia (LHM), musim ini.

Aksi pertama kedua-dua pemain itu dapat dilihat pada perlawanan persahabatan dengan Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC), semalam selepas kontrak mereka bersama juara Piala TNB, Terengganu Hockey Team (THT) tamat semalam.

Firhan yang juga penyerang kebangsaan berkata, dia mengambil keputusan menyarung jersi TNB selepas meneliti segala aspek sekali gus bertekad membantu pasukan itu memenangi trofi musim ini.

“Saya rasa TNB pilihan terbaik musim ini. Walaupun baru turun beraksi hari ini, saya rasa tiada masalah untuk menjalinkan kerjasama dengan jurulatih serta membentuk keserasian dengan barisan pemain lain.

“Saya tahu sudah semestinya pasukan mengharapkan sesuatu daripada saya termasuklah cuba meraih kejuaraan.

“Apapun, saya akan cuba membawa pasukan ini ke satu tahap lebih tinggi,” katanya.

Tengku Ahmad Tajuddin pula berharap akan cuba membimbing barisan pemain muda TNB melakar pencapaian lebih baik musim ini.

“Rata-rata pemain sedia ada masih muda dan saya akan berkongsi apa saja pengalaman selama ini bersama mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 January 2018 @ 7:14 AM