FIRHAN (dua dari kanan) mengasak kubu Pakistan sebelum jaring gol pertama.
FIRHAN (dua dari kanan) mengasak kubu Pakistan sebelum jaring gol pertama.
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


Kuantan: Hujan di Kuantan malam semalam membawa rahmat buat skuad hoki kebangsaan apabila bangkit daripada ketinggalan sebelum membenam cabaran juara bertahan Pakistan 4-2 di Kejohanan Hoki Trofi Juara-Juara Asia di Stadium Hoki Indera Mahkota.

Skuad negara yang dibarisi gabungan pemain muda dan pemain berpengalaman, bermula garang apabila terlebih dulu berada di depan menerusi jaringan padang Firhan Ashari pada minit ke-13.

Bagaimanapun, kelebihan itu tidak bertahan lama apabila Pakistan menyamakan kedudukan menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan Muhammad Aleem Bilal pada minit ke-18.

Pakistan menggandakan asakan dan memperoleh pukulan sudut penalti yang diambil ayam tambatan mereka Muhammad Aleem namun cubaannya berjaya digagalkan penjaga gol negara S Kumar.

Kesungguhan Pakistan yang juga pilihan kedua kejohanan, membawa hasil apabila Muhammad Aleem sekali lagi menjadi pemusnah dengan gol kedua negaranya menerusi sudut penalti pada minit ke-34.

Namun perlawanan terpaksa ditangguhkan seketika akibat hujan lebat sebelum kembali bersambung 15 minit kemudian.

Ia ibarat tuah kepada Malaysia apabila sebaik permainan bersambung, skuad negara berjaya memperoleh pukulan penalti dan peluang itu tidak disia-siakan Faizal Saari yang berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-37.

Malaysia kembali berada didepan apabila Shahril Saabah menyempurnakan pukulan sudut penalti, empat minit kemudian.

Ketika perlawanan dilihat bakal berakhir dengan keputusan 3-2, Faizal sekali lagi menceriakan kem tuan rumah apabila menyumbat gol keempat pada minit akhir perlawanan.

Mengulas permulaan baik skuad kendaliannya, Stephen Van Huizen berkata, kemenangan semalam adalah tonik terbaik buat pasukannya biarpun mereka bermula perlahan pada awal permainan.

“Ya, kita bermula agak perlahan dan membiarkan pasukan lawan menguasai perlawanan.

“Kemenangan ini memberi peluang cerah mara ke separuh akhir,” katanya selepas tamat perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Oktober 2016 @ 11:57 AM