Firhan (kiri) lega diserapkan ke dalam skuad Program Podium. -Foto fail
Firhan (kiri) lega diserapkan ke dalam skuad Program Podium. -Foto fail

KUALA LUMPUR: Peledak berbisa, Firhan Ashari tidak sabar untuk menyarung semula jersi pasukan hoki kebangsaan dan mahu kembali ‘mengganas’ musim depan selepas tersisih akibat kecederaan.

Pemain berusia 24 tahun itu mengakui lega apabila namanya diserapkan ke dalam barisan 24 pemain skuad Program Podium dan mahu segera melupakan episod malang tidak beraksi pada dua kejohanan terakhir iaitu Sukan SEA 2017 dan Piala Asia pada Oktober lalu.

“Memang satu kelegaan buat saya apabila berjaya menempatkan diri dalam skuad Podium, lagipun sejak seminggu lalu jurulatih memanggil 28 pelatih dan untuk meloloskan diri ke dalam 24 pelatih terbaik adalah semangat tambahan buat saya.

“Malah, saya sudah tidak sabar untuk melakukan kemunculan semula dan buat lebih baik daripada sebelum ini. Sasaran saya untuk tahun 2018 adalah kembali mencapai prestasi terbaik dengan menjaringkan gol pada setiap perlawanan seperti tahun 2015,” katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui pada program Bank Islam bersama Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) yang memperkenalkan kad debit edisi khas MHC yang berlangsung di sini, hari ini.

Program itu turut dimeriahkan dengan kehadiran ketua jurulatih wanita negara, Dhaarma Raj Abdullah serta empat pemain lelaki negara Shahril Saabah, Syed Syafiq Syed Cholan, Norsyafiq Sumantri dan Amirol Aideed Muhd Arshad.

Firhan yang sudah membuat 114 penampilan buat pasukan negara sering menjadi pilihan untuk mengetuai jentera serangan bersama Faizal Saari, Tengku Ahmad Tajuddin Abd Jalil serta Haziq Samsul, dan ia terbukti apabila namanya tersenarai pada dua kejohanan pertama tahun ini iaitu Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia dan Piala Sultan Azlan Shah 2017.

Tetapi sebaliknya berlaku sebaik kempen musim ini menuju ke penghujungnya apabila namanya dua kali disisihkan Stephen Van Huizen, namun penyerang Pasukan Hoki Terengganu (THT) itu ada jawapannya.

“Untuk Sukan SEA 2017 memang sejak dari awal jurulatih sudah beritahu hendak merehatkan saya kerana beri peluang kepada pemain lain tetapi untuk Piala Asia saya mengalami kecederaan otot terkoyak biarpun pada awalnya saya merasakan akan terpilih.”

Sebagai rekod, Firhan yang mula mewakili pasukan senior negara pada kejohanan Piala Sultan Azlan Shah 2011 di Ipoh pernah menjadi watak penting buat skuad Projek 2013 muncul juara Remaja Asia 2012 dan meraih tempat keempat Piala Dunia Remaja 2013.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 November 2017 @ 7:23 PM