ARULSELVARAJ sedia untuk menggunakan khidmat Turner dan Govers dalam dua sesi lagi. FOTO ASYRAF HAMZAH
ARULSELVARAJ sedia untuk menggunakan khidmat Turner dan Govers dalam dua sesi lagi. FOTO ASYRAF HAMZAH
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Kemampuan dua pakar pukulan sudut penalti dari Australia, Glenn Turner dan Kieran Govers yang dibawa khas untuk membantu Malaysian Tigers akan diuji sepenuhnya pada aksi di Trofi Juara-Juara Asia (ACT) Ogos depan.

Dua tonggak berpengalaman Australia yang memenangi Piala Dunia 2014 itu mempunyai penyudah berbisa, dibawa ketua jurulatih A Arulselvaraj untuk menajamkan lagi set pukulan sudut penalti skuad hoki negara.

Semalam, khidmat Turner dan Govers digunakan bersama skuad negara buat kali kedua daripada empat fasa latihan dengan setiap satu fasa diisi dengan empat ataupun lima sesi sehingga Jumaat ini.

"Ini bukan kali pertama, mereka dah dua kali bersama kita. Saya akan cuba dapatkan khidmat mereka untuk dua kali lagi.

"Kehadiran mereka dalam seminggu itu akan diisi dengan empat atau lima sesi untuk mempertajamkan lagi bahagian serangan," katanya.

Menurut Arul, kepakaran Turner di bahagian zon enam meter di hadapan penjaga gol manakala Govers pula di bahagian belakang selain mempunyai tenaga dan pukulan yang laju.

"Mereka mempunyai pengalaman yang sangat luas dan kedua-duanya pernah menang Piala Dunia.

"Saya mahu mereka memberi sebanyak mana nasihat dan cara untuk fokus di depan gol dan keseluruhan permainan," katanya.

Dalam pada itu, skuad lelaki kebangsaan terpaksa menukar jadual program latihan jelajah Eropah kepada latihan 10 hari di Korea Selatan.

Arul berkata, ia terpaksa diubah memandangkan skuad kendaliannya perlu menyertai ACT yang dijadual berlangsung di Chennai, India dari 3 hingga 12 Ogos ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Jun 2023 @ 5:10 PM