ARUL turut memaklumkan khidmat Turner dan Govers akan digunakan sepenuhnya bagi memantapkan lagi corak serangan. FOTO Ihsan Konfederasi Hoki Malaysia
ARUL turut memaklumkan khidmat Turner dan Govers akan digunakan sepenuhnya bagi memantapkan lagi corak serangan. FOTO Ihsan Konfederasi Hoki Malaysia
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Tiada sasaran yang diletakkan oleh skuad hoki kebangsaan di Kejohanan Hoki Trofi Juara-Juara Asia (ATC), Chennai, India 2023 yang hanya akan dijadikan platform sebagai persediaan terakhir buat Malaysian Tigers memburu emas di Sukan Asia, Hangzhou.

Jurulatih skuad negara A Arulselvaraj menjelaskan ATC adalah landasan terakhir untuk pasukan melakukan persiapan dan pemilihan pemain yang dilakukan meliputi setiap aspek termasuk tahap kecergasan pemain serta pemulihan kembali daripada kecederaan.

ATC akan membuka tirai secara rasmi bermula 3 hingga 12 Ogos 2023 dengan 20 pemain akan membawa cabaran negara dalam perlawanan yang berlangsung secara liga sepusingan.

"Tiada sasaran kerana yang penting fokus kita adalah emas di Sukan Asia dan layak ke Olimpik.

"Pasukan melakukan persiapan untuk ke kejohanan dan melalui fasa kesesuaian fizikal serta program khas bagi memantapkan lagi pasukan yang mana mereka akan melalui perlawanan dalam tempoh yang singkat," katanya.

Arul turut memaklumkan khidmat Glenn Turner dan Kieran Govers akan digunakan sepenuhnya bagi memantapkan lagi corak serangan selain turut memberikan tumpuan kepada struktur pasukan ketika melakukan serangan balas.

"Apa yang penting saya terapkan adalah gol. Tak kisah dari pukulan sudut penalti atau gol padang. Apa yang penting kita berjaya jaringkan gol.

"Saya berharap di kejohanan ini pemain akan menunjukkan kesungguhan dan usaha yang lebih daripada 100 peratus serta yang paling penting mereka percaya kepada diri sendiri.

"Pasukan melakukan persiapan yang maksimum menuju ke kejohanan ini jadi pemain perlu percaya mereka boleh memberikan aksi yang terbaik serta mampu untuk melakukannya kerana kepercayaan diri yang tinggi itu akan meningkatkan lagi kepercayaan pasukan serta antara satu sama lain bahawa mereka boleh beraksi dengan terbaik," katanya.

Pengumuman senarai itu diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan, Datuk Najmi Razak dalam satu sidang media di Pejabat Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) yang turut dihadiri oleh Pengurus Pasukan Senior Lelaki Kebangsaan, Datuk Mirnawan Nawawi, dan Ketua Pegawai Eksekutif MHC, Nishel Kumar.

Kejohanan edisi ke-7 ini menyaksikan Malaysia akan berdepan tuan rumah India, Korea, Jepun, China serta Pakistan dan menerusi senarai pemain yang diumumkan, turut disenaraikan adalah dua pemain yang dipanggil kembali beraksi bersama pasukan kebangsaan, Mohd Fitri Saari dan Abdul Khaliq Hamirin.

Skuad Senior Lelaki Kebangsaan akan berlepas ke Chennai, India pada Sabtu ini dan akan membuka tirai kejohanan pada 3 Ogos 2023.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Julai 2023 @ 3:56 PM