SUBAHAN (kanan) menjawab soalan pada sidang media sempena pengumuman penajaan baru bagi skuad hoki, hari ini.
SUBAHAN (kanan) menjawab soalan pada sidang media sempena pengumuman penajaan baru bagi skuad hoki, hari ini.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Kegagalan menyempurnakan pukulan sudut penalti dilihat menjadi kelemahan utama skuad hoki negara yang kini sedang berjuang Piala Dunia Hoki 2023.

Perkara itu disuarakan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal yang merasakan Speedy Tigers seharusnya menang dengan jumlah jaringan lebih besar ketika menentang Chile di Stadium Birsa Munda di Rourkela, India, semalam.

Malah, jurulatih negara, Arul Selvaraj turut mengakui perkara sama apabila skuad negara meraih 13 pukulan sudut penalti dalam perlawanan itu dan hanya cubaan Norsyafiq Sumantri menghasilkan gol manakala selebihnya berjaya dihalang barisan pemain Chile.

Kemenangan itu menyaksikan Malaysia berjaya mengelak daripada kedudukan tercorot Kumpulan C dan perlu menang ke atas New Zealand di Stadium Kalinga di Bhubaneswar pada Khamis ini untuk memburu slot ke suku akhir.

"Isu terbesar saya lihat adalah kegagalan kita menyempurnakan pukulan sudut penalti dan jika kita berjaya mengatasi masalah ini, saya pasti skuad negara mampu untuk lebih menguasai, malah defisit perlawanan dapat dikurangkan.

"Jadi kita perlukan sokongan teknikal dan membawa pakar dari luar untuk bekerjasama dengan tenaga tempatan mengatasi masalah ini," katanya pada sidang media pengumuman penajaan baru dari Shan Poornam Sdn Bhd bernilai RM400,000 untuk penajaan selama dua tahun.

Tegas Subahan, beliau bersama jawatankuasa MHC kini bersedia untuk membawa masuk tenaga luar seperti diminta Arul dalam usaha untuk memperkasakan skuad negara dengan misi utama adalah untuk meraih emas di Sukan Asia Hongzhou, sekali gus layak secara automatik ke Sukan Olimpik Paris 2024.

"Perkara ini sudah disuarakan, namun kita berdepan dengan kekangan apabila isu kewangan menjadi masalah utama.

"Kita lihat sekarang perbezaan antara India dan negara kita serta Pakistan. Berapa jauh jurang India dengan kita. India menggunakan kepakaran luar dengan peruntukan dana yang mereka dapat juga cukup tinggi.

"Justeru saya amat berharap sokongan daripada syarikat korporat untuk tampil bersama-sama berusaha memantapkan pasukan hoki negara yang umum memang mengetahui kita kini berada di kelas dunia," katanya.

Subahan berkata, MHC memerlukan suntikan dana sekurang-kurangnya RM3 juta setahun untuk mengendalikan pasukan negara yang terdiri daripada pasukan kebangsaan lelaki wanita, skuad remaja dan bantuan ke skuad negeri.

Perkara itu sudah diusulkan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan beliau dijangka akan bertemu dengan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dalam masa terdekat.

Namun Subahan menegaskan beliau mengerti kekangan bantuan kewangan daripada KBS berhubung dengan sokongan dana kepada semua persatuan sukan yang lain.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 January 2023 @ 1:55 PM