RAZIE (kanan) menjadi senjata utama skuad hoki negara memperoleh gol menerusi pukulan sudut penalti. FOTO ARKIB NSTP
RAZIE (kanan) menjadi senjata utama skuad hoki negara memperoleh gol menerusi pukulan sudut penalti. FOTO ARKIB NSTP
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Pakar pukulan sudut penalti, Muhammad Razie Rahim tetap yakin skuad hoki lelaki negara bakal meraih slot ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Menurutnya, mereka sudah memulakan persiapan untuk menentang pasukan bakal ditentang di pusingan kelayakan di Muscat Oman, dari 15 hingga 21 Januari 2024.

"Setakat ini kita sudah ada maklumat Pakistan dan China selepas bertembung di Sukan Asia Hangzhou, baru-baru ini.

"Jadi, kita perlu melihat Great Britain kerana tidak ada lagi input mengenai permainan mereka," katanya.

Ujar pemain berpengalaman itu, dalam aksi kelayakan apa sahaja boleh berlaku dan semua perlawanan boleh jadi 50-50.

"Kita harungi perlawanan demi perlawanan terlebih dahulu. Terutama dengan aksi bertemu Pakistan.

"Berdasarkan ranking pula Great Britain paling tinggi dalam kumpulan, namun kita akan mengkaji perlawanan mereka bagi mendapatkan tiga mata," katanya.

Di peringkat kelayakan, skuad hoki lelaki negara diundi dalam Kumpulan A bersama pemenang pingat emas Olimpik 1988, Great Britain selain Pakistan dan China.

Selepas terlepas peluang di Sukan Asia Hangzhou yang ditawarkan kepada pemenang pingat emas, anak buah A Arulselvaraj hanya mempunyai jalan terakhir untuk ke Paris 2024 dengan sekurang-kurangnya menduduki tempat ketiga di Muscat.

Bagaimanapun, berdasarkan undian dikeluarkan Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) semalam, pasukan dalam Kumpulan B tidak kurang hebatnya apabila dibarisi Jerman, New Zealand, Kanada dan Chile.

Misi pertama adalah menduduki dua tangga teratas kumpulan terlebih dahulu untuk melayakkan diri ke separuh akhir yang boleh dianggap sebelah kaki ke Paris 2024 dan jika menang dengan lawan dari Kumpulan B, slot ke Olimpik sudah terjamin.

Jika tumpas di separuh akhir, pasukan bimbingan Arulselvaraj itu tidak ada pilihan lain selain wajib memenangi aksi penentuan tempat ketiga/keempat untuk menamatkan penantian 24 tahun ke temasya berkenaan.

Satu lagi kelayakan Olimpik 2024 berlangsung di Valencia membabitkan Belgium, Ireland, Jepun dan Ukraine dalam Kumpulan A manakala kumpulan B terdiri daripada Sepanyol, Korea Selatan, Austria dan Mesir.

Setakat ini, dalam kategori lelaki, Perancis sudah layak ke temasya itu secara automatik sebagai tuan rumah, manakala lima slot automatik benua diisi Australia (Oceania), Belanda (Eropah), India (Asia), Argentina (Pan Amerika) dan Afrika Selatan (Afrika) apabila masing-masing muncul juara kejohanan sebenua.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 November 2023 @ 5:09 PM