NORZA (kanan) bersama Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh. -FOTO NSTP
NORZA (kanan) bersama Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh. -FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Penyenaraian skuad hoki negara dalam Program Road to Gold (RTG) menjelang Sukan Olimpik Paris 2024 bukan dilakukan hanya semata-mata untuk 'tangkap muat' tanpa melakukan penilaian terperinci terhadap keupayaan mereka.

Pengerusi bersama Road To Gold (RTG), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, keputusan untuk menyenaraikan skuad hoki negara ke dalam program itu dilihat mampu mmembantu mencipta keputusan positif di temasya Sukan Asia pada September ini.

Malah, Norza berkata, sukan Asia Hangzhou cukup penting kerana ia adalah lalu paling mudah untuk skuad kendalian Arul Selvaraj menempah slot ke temasya Olimpik Paris.

"Hoki sekarang ini berada di ranking 10 dunia dan sebab apa mereka disenaraikan dalam RTG kerana kita berpendapat dengan kemudahan yang ada beri cetusan inspirasi untuk 'push' menang emas di Sukan Asia.

"Bila menang terus layak ke Olimpik. Jika berada dalam kedudukan 10 atau lima jadinya kita letak awal (dalam RTG). Sukan Asia adalah paling mudah untuk mereka layak ke Olimpik," katanya ketika ditemui pada majlis sambutan Hari Olimpik 2023 Sekolah Sukan Bukit Jalil, di sini, sebentar tadi.

Hadir sama pada majlis itu adalah olimpian negara terdiri daripada jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang, bekas jaguh lompat tinggi negara Lee Hup Wei, bekas atlet lompat bergalah negara, Roslinda Samsu dan bekas juara dunia dalam acara terjun Cheong Jun Hoong.

Sementara itu, kehadiran pasukan hoki negara ke olimpik menyaksikan 'keluarga' Malaysia di temasya terbabit lebih besar sekali gus memberi banyak kelebihan selain kehadiran Malaysia dipandang peserta lain.

"Kontinjen negara akan lebih besar berbanding purata dengan hanya 20 hingga 30 peserta saja sebelum ini.

"Bila kontinjen melebihi 50 orang ada kelebihan lain seperti dapat lebih akreditasi dan orang akan lebih pandang. Jika hanya 20 hingga 30 orang saja menyebabkan pihak lain cakap Malaysia ada atau pun tidak di temasya itu," katanya.

Mengikut rekod, skuad hoki lelaki negara muncul atlet berpasukan pertama disenaraikan dalam Program RTG menjelang Sukan Olimpik Paris 2024.

Ini selepas skuad hoki negara itu memenuhi kriteria berada dalam kelompok ranking 10 terbaik dunia.

Penyenaraian itu adalah untuk mencerahkan peluang mereka mendapatkan pingat emas dalam Sukan Asia di Hangzhou, China pada September depan, sekali gus layak secara automatik ke Sukan Olimpik Paris.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Jun 2023 @ 2:40 PM