BARISAN pemain hoki negara yang akan beraksi di ACT di Chennai, India, bermula 3 Ogos ini. FOTO FB MIRNAWAN NAWAWI
BARISAN pemain hoki negara yang akan beraksi di ACT di Chennai, India, bermula 3 Ogos ini. FOTO FB MIRNAWAN NAWAWI
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Jurulatih skuad hoki negara, A Arul Selvaraj menyarankan supaya pemain kekal fokus dalam fasa persiapan terakhir sebelum ke Sukan Asia Hangzhou, China, September depan.

Menjadikan kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) di Chennai, India bermula 3 Ogos ini medan persiapan terakhir, Arul mengingatkan pemain untuk tidak terlalu memikirkan sejarah lalu terutama apa yang berlaku di temasya Sukan Asia Jakarta-Palembang pada 2018.

Beliau berkata, pemain perlu terus memandang ke hadapan dengan misi meraih emas di Sukan Asia perlu direalisasikan bagi mendapatkan tiket automatik ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Katanya, tugas Speedy Tigers sekarang adalah untuk mencipta sejarah dan perlu berusaha ke arah itu.

"Saya tak berminat nak bercakap perkara sudah lepas kerana saya bukan jurulatih dan lebih banyak kita cakap pasal Jakarta, ketakutan itu akan sentiasa ada.

"Tak adil untuk untuk skuad ini kerana dari 26 pemain sekarang, hanya tujuh orang bermain di Jakarta dan selebihnya muka baru. Mereka semua teruja untuk bermain.

"Jadi saya terapkan kepada semua pemain supaya setiap orang perlu ada mentaliti juara," katanya.

Siri Jelajah Korea lalu membuktikan Speedy Tiger mampu bangkit daripada ketinggalan 1-3 pada tiga minit terakhir dan menamatkan perlawanan dengan keputusan 3-3 menentang Korea.

Malah, skuad itu mampu seri dengan Sepanyol selain menang ke atas New Zealand.

Untuk rekod. Kejohanan ATC edisi ke-7 ini menyaksikan Malaysia akan berdepan India, Korea, Jepun, China serta Pakistan dalam perlawanan yang akan berlangsung secara liga sepusingan.

Mereka akan berlepas ke Chennai, India pada Sabtu ini dan membuka tirai kejohanan pada 3 Ogos menentang Pakistan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Julai 2023 @ 4:23 PM