GUNOK menyelamatkan gawangnya daripada ditembusi Baumgartner pada masa kecederaan. FOTO AFP
GUNOK menyelamatkan gawangnya daripada ditembusi Baumgartner pada masa kecederaan. FOTO AFP
Agensi

Leipzig, Jerman: Kemaraan Turkiye ke suku akhir Euro 2024 banyak dibantu kecemerlangan penjaga gol Turkiye Mert Gunok terutamanya pada masa kecederaan ketika menentang Austria, awal pagi tadi.

Ketika Turkiye mendahului 2-1 hasil jaringan Martin Demiral, skuad Ralf Rangnick melakukan asakan berterusan untuk menyamakan kedudukan.

Selepas empat minit masa tambahan, Alexander Prass menghantar bola ke kotak penalti dan Christoph Baumgartner melakukan tandukan yang tampak menuju tepat ke penjuru gawang.

Namun, Austria dihampakan tindakan cemerlang Gunok yang melonjak sepenuhnya dan menolak bola keluar dengan hujung jarinya bagi membolehkan Turkiye terselamat dan meraih kemenangan sangat bermakna.

Pengulas ITV Lee Dixon mengagumi ketangkasan Gunok dan menyamakannya dengan aksi bekas penjaga gol legenda England Gordon Banks ketika menentang Brazil pada Piala Dunia 1970.

"Sumbangannya memang kelas pertama tetapi ketangkasannya ketika menyelamatkan tandukan Baumgartner berkelas dunia," tambahnya.

"Ia seperti replika Gordon Banks. Dia sangat tangkas di gawang terutamanya pada babak pertama dan aksi menyelamatnya ketika kedudukan 2-1 bertaraf dunia untuk mereka mara ke suku akhir."

Sam Matterface, ketua pengulas ITV bagi perlawanan itu turut memuji Gunok: "Detik bersejarah dan mereka perlu berterima kasih kepada penjaga gol mereka. Kali pertama dalam tempoh 16 tahun, mereka layak ke suku akhir kejohanan utama."

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Julai 2024 @ 4:27 PM