DEMIRAL (dua dari kiri) melompat tinggi ketika meraikan jaringannya ke atas Austria, awal pagi semalam. FOTO REUTERS
DEMIRAL (dua dari kiri) melompat tinggi ketika meraikan jaringannya ke atas Austria, awal pagi semalam. FOTO REUTERS
Reuters

Leipzig: Kemaraan Turkiye ke separuh akhir Euro 2008 mencipta kenangan indah zaman kanak-kanak yang melonjakkan semangat sebahagian besar pemain dalam skuad di Jerman, kata pemain tengah, Orkun Kokcu.

Mereka menewaskan Austria 2-1 pada aksi sengit di pusingan 16 terakhir Euro 2024, awal pagi semalam, untuk mara ke suku akhir dan menghidupkan impian mengulangi pencapaian muncul empat terbaik pada 2008.

"Saya baru berusia tujuh tahun pada 2008, tetapi memang ingat perlawanan itu. Abang saya dan saya seperti bermimpi apabila menyaksikan perlawanan itu bersama keluarga," kata Kokcu.

"Selepas memenangi perlawanan, kami bersorak dan meraikan bersama-sama. Memang sangat bangga dan bagus apabila melihat imej sama di Internet ketika ini," katanya.

Skuad 2008 itu tewas di tangan Portugal pada perlawanan pembukaan sebelum menewaskan Switzerland dan Republik Czech di peringkat kumpulan.

Mereka menewaskan Croatia menerusi penentuan sepakan penalti di peringkat 16 terakhir, tetapi tewas 2-3 di tangan Jerman menerusi jaringan lewat Philipp Lahm di separuh akhir.

Selepas tewas 1-6 kepada Austria pada aksi persahabatan Mac lalu dan kapten, Hakan Calhanoglu digantung perlawanan, ramai tidak menjangka Turkiye mampu menang perlawanan semalam.

Tetapi dua jaringan Merih Demiral dan ketangkasan penjaga gol, Mert Gunok pada masa kecederaan menyaksikan mereka melangkah ke suku akhir untuk berdepan Belanda, awal pagi Ahad ini.

"Ia adalah perlawanan yang sangat bagus dan sengit. Kami bercakap mengenai perkara itu dengan Mert sebelum perlawanan. Kami mahu membalas dendam ke atas Austria, mahu menjaringkan gol dan jelas, gol awal meningkatkan motivasi kami," kata Kokcu.

Mendapat sokongan besar rakyat Turkiye, bandar di Jerman dipenuhi bendera yang dikibarkan dan bingit dengan hon kereta ketika mereka meraikan kemaraan ke suku akhir untuk berdepan Belanda di Berlin.

Malangnya, Kokcu meraih kad kuning kedua dan tidak boleh diturunkan apabila menentang Belanda.

"Saya digantung perlawanan, tetapi akan membantu pasukan dari luar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2024 @ 9:56 AM