SWIDERSKI (kanan) menjaringkan gol pembukaan Poland sebelum dikeluarkan kerana cedera buku lali ketika meraikan jaringannya itu. FOTO AFP
SWIDERSKI (kanan) menjaringkan gol pembukaan Poland sebelum dikeluarkan kerana cedera buku lali ketika meraikan jaringannya itu. FOTO AFP
Reuters

Warsaw: Pemain Poland, Nicola Zalewski menjaringkan gol pada minit ke-90 untuk kemenangan 2-1 ke atas Turkiye pada aksi pemanas badan terakhir menjelang Euro 2024, awal pagi tadi, tetapi mereka dibelenggu kecederaan penyerang, Karol Swiderski dan Robert Lewandowski.

Swiderski membuka jaringan pada minit ke-12 apabila rembatannya melepasi kaki penjaga gol, Mert Gunok, tetapi penyerang itu cedera di buku lali akibat terjatuh ketika meraikan jaringannya dan terpaksa dikeluarkan.

"Pergelangan kaki Karol terseliuh dan selepas ujian baru kami akan tahu situasi sebenarnya. Tiada apa yang berubah setakat ini," kata pengurus Poland, Michal Probierz.

Turkiye menyamakan kedudukan pada minit ke-77 menerusi kombinasi dua pemain gantian apabila Kenan Yildiz mengumpan kepada Baris Alper Yilmaz di luar kotak penalti sebelum rembatannya melepasi pemain pertahanan, Bartosz Salamon dan penjaga gol, Wojciech Szczesny.

Poland akhirnya meneruskan prestasi cemerlang tanpa kalah dalam lapan perlawanan apabila Zalewski membuat larian solo dan menjaringkan gol pada minit akhir perlawanan.

Poland sebelum ini kehilangan Arkadiusz Milik yang cedera ketika menang 3-1 ke atas Ukraine, Jumaat lalu menyebabkan penyerang Juventus itu tersisih daripada skuad ke Euro 2024 dan selepas kecederaan dialami Swiderski, Probierz dilihat berdepan lebih banyak kesukaran.

Kecederaan dialami penyerang berbisa, Lewandowski yang dikeluarkan di hujung babak pertama jelas perkara terakhir diingini penyokong Poland, tetapi kecederaannya tidak serius seperti Swiderski.

"Robert cedera ringan, tetapi dijangkakan tiada masalah," kata Probierz yang muncul pengurus Poland dengan permulaan paling cemerlang apabila mengharungi lapan perlawanan tanpa kalah sejak memegang jawatan itu pada September tahun lalu.

Nada berbeza dituturkan pengurus Turkiye, Vincenzo Montella apabila mereka tidak menang dalam lima perlawanan terakhir.

"Kami tidak menang dalam lima perlawanan, tetapi semua itu perlawanan persahabatan dengan lawan sukar," kata Montella merujuk kepada keputusan seri 0-0 dengan juara Eropah, Itali pada minggu lalu.

"Apa yang merisaukan saya adalah kami bekerja keras, terus mencuba dan kegagalan menjejaskan keyakinan kami. Saya tidak risau kerana kami mencipta 20 peluang jaringan, kami perlu lebih tajam."

Poland akan berdepan Belanda pada perlawanan pembukaan Euro 2024, Ahad ini dalam Kumpulan D yang turut disertai Austria dan Perancis.

Turkiye oula berdepan Georgia pada 18 JUn diikuti Portugal dan Republik Czech dalam Kumpulan F.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Jun 2024 @ 6:44 AM