PEMAIN JDT kini berada di Sepanyol bagi menghadapi perlawanan persahabatan. FOTO Johor Southern Tigers
PEMAIN JDT kini berada di Sepanyol bagi menghadapi perlawanan persahabatan. FOTO Johor Southern Tigers
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Juara 10 kali Liga Super Johor Darul Ta'zim (JDT) membuktikan mereka berada dalam kelas tersendiri apabila terus mengukuhkan kedudukan dengan melonjak sebagai kelab ke -14 terbaik rantau Asia.

Jelas sekali, prestasi luar biasa dipamerkan skuad berpangkalan di selatan tanah air itu membolehkan pasukan terbabit yang sebelum ini berada di kedudukan 17 melonjak di tempat 14.

Kemas kini terbaru laman Opta Analyst menunjukkan peningkatan mendadak kedudukan Harimau Selatan berbanding kemas kini terakhir yang dilakukan.

Laman analisis bola sepak yang menyenaraikan hampir 13,500 ranking kelab bola sepak seluruh dunia itu menunjukkan Harimau Selatan mengumpul 75.1 mata sekaligus menyaksikan kedudukan JDT naik ke tangga 14 di Asia berbanding ke-17 tempoh hari.

Peningkatan itu juga terus mengukuhkan kedudukan JDT sebagai kelab nombor satu di Asia Tenggara dan Malaysia dengan pesaing terdekat adalah kelab Thailand, Buriram United yang menghuni tangga ke-49 di Asia (625 di dunia).

Kemas kini itu juga membolehkan pasukan terbabit bersaing dengan beberapa pasukan gergasi Asia lain seperti Jeonbuk Motors (13), Kawasaki Frontale (11) dan juga Al-Ittihad (8) di Asia.

Kelab nombor satu di Asia kekal menjadi milik Al-Hilal dengan 85.8 mata disusuli oleh Al-Nassr (82.2 mata) dan juga Ulsan Hyundai di tangga ketiga dengan 79.3 mata.

Saingan 2024/2025, menyaksikan JDT sebagai wakil tunggal kelab dari Malaysia beraksi dalam kejohanan peringkat Asia, Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE).

Ketika ini, JDT berada di Sepanyol dalam rangka latihan dan persiapan pra musim selain turut mengharungi beberapa perlawanan persahabatan membabitkan kelab di negara terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2024 @ 2:25 PM