KHAIRY turut dilantik sebagai Penasihat Belia Johor. FOTO FB JOHOR SOUTHERN TIGERS
KHAIRY turut dilantik sebagai Penasihat Belia Johor. FOTO FB JOHOR SOUTHERN TIGERS
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Wow, gandingan mantap! Itulah tiga perkataan boleh digambarkan apabila bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin sah menyertai kelab Johor Darul Ta'zim (JDT) sebagai Ahli Lembaga Pengarah kelab itu.

Sudah tentu kehadiran Khairy atau lebih dikenali dengan panggilan KJ itu akan mewujudkan gandingan berkuasa bersama pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bagi memacu skuad Harimau Selatan itu.

Menerusi pengumuman di laman sosial JDT itu, juara Liga Super sembilan kali berturut-turut itu melantik KJ sebagai Penasihat Belia Johor.

"Kelab bola sepak JDT ingin mengucapkan selamat datang dan tahniah kepada Khairy Jamaluddin atas perlantikan beliau sebagai salah seorang Ahli Lembaga Pengarah JDT selepas diumumkan oleh pemilik JDT, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor.

"JDT turut mengucapkan tahniah kepada Khairy atas perlantikan beliau sebagai Penasihat Belia Johor. Luaskan Kuasamu Johor," menurut kenyataan di Facebook Johor Southern Tigers.

Minat Khairy dalam dunia bola sepak negara bukan biasa-biasa apabila beliau sebelum ini pernah dilantik sebagai Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dari 2007-2010.

Namun 'buah fikiran' yang paling diingati peminat bola sepak tempatan daripada bekas Menteri Kesihatan itu adalah kewujudan Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) yang dilancarkan ketika beliau menjadi Menteri Belia dan Sukan pada 2014.

NFDP dibangunkan bagi memperkukuhkan aspek pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi sambil menyokong agenda FAM dari belakang untuk melahirkan pemain muda berpotensi agar dapat dipasarkan ke luar negara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Februari 2023 @ 2:17 PM