PEMAIN JDT meraikan jaringan ketika menentang Negeri Sembilan FC di Stadium Sultan Ibrahim bulan lalu.
PEMAIN JDT meraikan jaringan ketika menentang Negeri Sembilan FC di Stadium Sultan Ibrahim bulan lalu.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Nama juara Liga Super 10 kali berturut-turut Johor Darul Ta'zim (JDT) terus 'mendonia' apabila pasukan itu diletakkan sebagai kelab ke-13 terbaik di benua Asia.

Menerusi maklumat terkini di laman Opta Analyst yang menyaksikan gergasi Liga Malaysia (Liga M) itu mengumpul 75.3 mata, naik dua anak tangga berbanding kedudukan ke-15 sebelum ini.

Skuad Harimau Selatan mengatasi beberapa kelab besar di Asia termasuk Kawasaki Frontale, Al-Ahli FC dan Kuwait SC.

Analisis daripada laman bola sepak yang menyenaraikan hampir 13,500 ranking kelab bola sepak seluruh dunia itu turut menyaksikan Harimau Selatan berada di tangga 315 dunia.

Perkembangan itu membolehkan JDT mengukuhkan kedudukan selaku kelab nombor satu rantau Asia Tenggara dengan pesaing terdekat dari Thailand, Buriram United menghuni tangga ke-50 Asia dan ke-619 dunia.

Juara Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City kekal sebagai kelab terbaik dunia dengan mengumpul 100 mata manakala Real Madrid di tangga kedua dengan 99.2 mata.

Tangga ketiga juga kekal dihuni kelab Itali, Inter Milan yang meraih 97.5 mata manakala naib juara EPL, Arsenal (95.2 mata) di tangga keempat dan juara Bundesliga, Bayer Leverkusen (95.2 mata) di kedudukan kelima.

Selain itu, tiga kedudukan teratas kelab terbaik Asia tidak berubah dengan gergasi Arab Saudi, Al-Hilal yang mengumpul 86.8 mata kekal di kedudukan teratas diikuti Al-Nassr (82.9 mata) dan Ulsan Hyundai (78.3 mata) menghuni tangga kedua dan ketiga.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Jun 2024 @ 3:44 PM